29 Februari 2012

Elektrik putus, rumah hangus

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

AYER KEROH - Sebuah keluarga mengalami kerugian hampir RM60,000 apabila sebahagian rumah kediaman mereka di Taman Tasik Utama, di sini musnah terbakar, pagi semalam.

Kebakaran membabitkan dua bilik tidur di bahagian tengah dan belakang, selain sedikit mengenai dapur rumah milik juruteknik, Hanizam Shariff, 36 dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi.

Menurut Hanizam, punca kebakaran masih menjadi tanda tanya dia sekeluarga berikutan fius elektrik di bahagian luar rumah sudah ditanggalkan selepas bekalan eletrik terputus, petang kelmarin.

“Rumah kami tiada beka­-lan elektrik selepas saya balik dari kerja petang semalam (kelmarin). Selepas menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB), mereka datang membuat pemeriksaan kemudian menyatakan terdapat masalah pendawaian serta mencadangkan fius dibuka sementara ia diperbaiki hari ini (semalam),” katanya.

Berikutan itu juga, katanya, dia dan isteri, Norazlina Mat Jelas, 36 mengambil keputusan untuk bermalam di rumah ibu saya di Bemban, Jasin.

Menurut Hanizam, dia terkejut dan seakan tidak percaya apabila menerima panggilan daripada jirannya kira-kira 8.30 dan memak­lumkan kebakaran itu.

“Tiada barang dapat diselamatkan semasa sampai melihat bomba sedang membuat kerja pemadaman api. Barang elektrik dan perabot musnah, selain buku anak-anak dan isteri basah terkena air.

“Kerugian dialami kami dianggarkan sebanyak RM60,000 termasuk kos membaiki bumbung yang rosak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Wan Azlan Abdul Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.40 pagi dam tiba kira-kira lima minit selepas itu.

“Api sedang marak di bahagian belakang rumah ketika kita tiba sebelum ia dapat dikawal jam 9.05 dan padam sepenuhnya kira-kira 15 minit kemudian. Operasi membabitkan dua jentera bomba dari Ayer Keroh dan Balai Bomba Bukit Katil membabitkan 17 anggota termasuk lima pegawai,” katanya.

Wan Azlan berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran dan pihaknya mengakui fius elektrik di luar rumah itu sudah dibuka ketika pemeriksaan dilakukan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: