29 Februari 2012

Anak bermain dengan toksik

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KEBANYAKAN alat mainan memang nampak menarik, tetapi awas, ada yang mungkin boleh mengundang bahaya kepada anak anda.

Ia mungkin bahaya kerana mempunyai bahagian kecil yang mudah tertelan, manakala yang lain pula boleh menjadi penyebab kanser.

Kesedaran masyarakat negara ini terhadap keselamatan alat mainan kanak-kanak masih pada tahap rendah.

Ini dapat dilihat apabila masih ramai pengguna membeli alat mainan berdasarkan rupanya yang cantik, bentuk yang canggih, warna dan juga mengikut trend semasa.

Bagi mereka, alat mainan kanak-kanak adalah medium hiburan dan penjanaan kepada daya imaginasi anak kecil dan tidak mungkin ia boleh mendatangkan bahaya.

Walhal sudah pelbagai kemalangan dan bahaya kesihatan yang berpunca daripada alat mainan kanak-kanak dilaporkan dalam media, khususnya antarabangsa. Namun, masih ramai yang memandang ringan.

Mereka masih tidak peduli walaupun berita berhubung rampasan dan penarikan balik alat mainan kanak-kanak yang tidak selamat turut tersebar luas di media seperti apa yang berlaku di Victoria, Australia, sebelum sambutan Hari Natal yang lalu.

Dilaporkan, lebih 10,000 alat mainan kanak-kanak yang tidak selamat dirampas dan dimusnahkan di Victoria.

Senario kurangnya kesedaran masyarakat mengenai kepentingan isu keselamatan alat mainan kanak-kanak, berkemungkinan disebabkan Malaysia baru sahaja menguatkuasakan Peraturan Standard Keselamatan Bagi Mainan Kanak-Kanak berbanding negara maju.

Dengan adanya peraturan ini yang dikuatkuasakan bermula 1 Ogos 2010, sedikit sebanyak akan menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan keselamatan alat mainan.

Melalui penguatkuasaan ini, semua alat mainan yang dikeluarkan syarikat tempatan atau luar negara diwajibkan menjalani proses penilaian dan pengujian sebelum diletakkan tanda Malaysian Conformity (MC).

Menerusi peraturan berkaitan, pengilang, pengimport dan pembungkus semula alat mainan perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan ia selamat dibekal dan dijual di Malaysia.

Dalam erti kata lain, semua syarikat yang terlibat dalam aktiviti pembekalan dan penjualan alat mainan kanak-kanak di Malaysia mempunyai tanggungjawab masing-masing bagi mematuhi peraturan ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menggerakkan usaha bersepadu dengan melancarkan pelbagai kempen kesedaran menerusi media Massa.

Kakitangan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Nur Izza Osman berkata, tidak terlintas dalam pemikirannya bahawa alat mainan yang rendah kualiti boleh mengundang bahaya kepada kanak-kanak.

“Saya mengetahui tanda MC selepas menonton iklan berkenaan di televisyen baru-baru ini. Sebelum ini, saya membeli alat mainan berdasarkan kepada tarikan fizikal berbanding melihat sama ada ia mempunyai tanda MC,” katanya.

Kosmo

Tiada ulasan: