29 Februari 2012

Lagi sarang edar dadah diserbu

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

LUNAS - Tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, ketika serbuah dilakukan disebuah rumah di Kampung Keladi kira-kira jam 11 malam, semalam.

Ketika serbuan yang di Ketuai Inspektor Mohamad Amin Mat Yassin bersama Ketua Balai Polis Lunas, Sarjan Mejar Azizi Bakar dilakukan, ke semua suspek cuba melarikan diri melalui pintu belakang bagaimanapun berjaya ditahan.

Dari pemeriksaan dibuat, polis menemui beberapa plastik lut sinar dipercayai dadah seberat 3.06 gram.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Ghuzlan Saleh berkata, salah seorang suspek terlibat cedera di tapak tangan kanannya kerana tersangkut di dawai kawat ketika cuba melarikan diri.

Menurutnya, pihak polis mene­rima maklumat daripada orang ramai dan membuat pemantauan kira-kira seminggu sebelum serbuan dibuat.

“Ketika diserbu polis, ke semua suspek berada di sebuah bilik di bahagian tepi rumah mereka. Selain puluhan plastik lut sinar turut dite­mui alat menghisap dadah.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Lunas sebelum dipindahkan ke IPD Kulim. Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati ke semua mereka positif dadah, “ katanya.

Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Bahaya 1982 kerana memiliki dadah.

Ghuzlan berkata, polis mengenal pasti individu, kumpulan dan lokasi menghisap dadah dan akan membuat serbuan pada bila-bila masa dan semua maklumat itu diperoleh hasil kerjasama orang ramai.

“Dadah merosakkan masyarakat terutama golongan muda. Apa lebih membimbangkan ia mula menular dalam kalangan remaja bawah umur.

“Ini merupakan satu pertumbuhan yang tidak sihat dan polis akan terus memerangi mereka terlibat. Sehingga kini pelajar lelaki dan perempuan turut terlibat dalam kegiatan tidak bermoral ini dan lebih menyedihkan ada antara mereka juga merupakan pengedar dadah yang aktif,“ katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: