29 Februari 2012

PKR perbetul lokasi pasaraya NFC di Singapura

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 29 Feb: PKR hari ini memperbetul kesilapan berhubung lokasi Farmhouse Supermarket yang didakwa dimiliki bersama oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, beroperasi di Star Vista Mall, Singapura.

Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan berkata lokasi sebenar pasaraya yang berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) itu adalah di Rochester Mall yang terletak di Rochester Drive.

Jelasnya, kedua-dua pusat membeli-belah itu terletak berdekatan di antara satu sama lain dan petugasnya yang membuat pengesanan itu telah berkunjung ke lokasi yang salah.

"Saya memandang berat kesilapan ini dan telah berhubung dengan rakyat Malaysia di Singapura yang banyak membantu.

"Semakan pada pagi ini mendapati bahawa Farmhouse Supermarket akan beroperasi di Rochester Mall bersebelahan dengan Star Vista," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merespon kepada penafian oleh CapitalMall bahawa kompleks membeli belah Star Vista yang sedang dimajukan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Farmhouse Supermarket Pte Ltd yang dimiliki keluarga Shahrizat.

Menurut Rafizi, Farmhouse Supermarket menyewa unit-unit bernombor #02-08 hingga #02-35 di kompleks membeli belah yang dibangunkan bersama-sama kondominium mewah di alamat 35, Rochester Drive, Singapura.

Projek itu katanya dibangunkan oleh pemaju UE One-North Developments Private Limited.

"Semakan di laman rasmi Rochester Mall jelas menyenaraikan Farmhouse Supermarket sebagai salah satu penyewa mereka, seperti yang dilaporkan di laman http://www.rochestermall.com.sg/#02-08to35

"Maklumat di laman itu juga mengesahkan bahawa Farmhouse Supermarket adalah penyewa terbesar di tingkat 2, berbanding kedai-kedai lain," katanya memperincikan dakwaannya itu.

Beliau juga berpendapat, oleh kerana lokasi Rochester Mall adalah bersebelahan dengan Star Vista, anggaran sewa seperti yang didasarkan kepada laporan Competition Commission of Singapore tidaklah banyak berbeza.

"saya percaya selain dari kesilapan alamat sebenar kompleks seperti yang saya sebutkan, keseluruhan pendedahan yang dibuat semalam adalah tepat.

"Kenyataan Datuk Seri Salleh Ismail yang disiarkan oleh The Malay Mail bertarikh 29 Februari 2012 juga mengesahkan bahawa NFC tidak menafikan kewujudan pasaraya mewah ini, malah masih mempertahankan hak mereka untuk menceburi apa-apa perniagaan yang mereka rasa sesuai," tegasnya sambil menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada CapitalMall dan NFC atas kesilapan fakta yang berlaku.

Harakah Daily

Tiada ulasan: