29 Februari 2012

Bergaduh di tempat awam, dua beradik didenda RM500

7 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Dua beradik lelaki didenda Mahkamah Majistret Georgetown akibat melakukan pergaduhan di tempat awam.

Tertuduh, N. Rajasheelan, 24 dan adiknya, N. Theeban, 22, dari Medan Lumba Kuda juga dituduh bersama dengan tertuduh pertama, Iskandar Shah Abdul Rahman, 26.

Rajasheelan yang bekerja sebagai pekerja kilang itu didakwa bersama adiknya yang juga pekerja sambilan di sebuah bank dituduh melakukan pergaduhan di tempat awam.

Tertuduh pertama, Iskandar Shah bagaimanapun gagal hadir ke mahkamah, semalam.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 7 Februari lalu, kira-kira jam 6.45 petang, ketiga-tiga tertuduh bergaduh sesama sendiri bersebelahan dengan Panthal Race Course, Jalan Kebun Bunga.

Atas kesalahan itu, ketiga-tiganya didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang mana boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama satu bulan atau denda RM200 atau kedua-duanya sekali.

Rajasheelan dan Theeban bagaimanapun mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan merayu supaya hukuman diringankan memandangkan mereka masih muda.

“Tolonglah rendahkan hukuman kami puan majistret, kami masih muda dan kami tidak akan lakukan kesalahan ini lagi pada masa akan datang,” kata Rajasheelan.

Rajsheelan dilihat beberapa kali mengesat matanya kerana terlalu sedih selepas disabitkan bersalah atas pertuduhan itu.

Majistret Noor Aini Yusof kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM500 kepada kedua-dua tertuduh dan sekiranya gagal bayar akan dikenakan satu bulan penjara.

Sinar Harian

Tiada ulasan: