19 Mac 2012

Asah bakat istimewa fotografi dan kulinari

26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Ini bermaksud usaha atau cita-cita tidak akan tercapai jika tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh. Begitu juga pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) yang sebelum ini seperti kurang disedari kebolehan mereka apabila tidak ada kelas kemahiran khas secara benar-benar terancang untuk mereka tonjolkan bakat dan kemahiran selain dalam pelajaran.

Setelah digubal semula cara pembelajaran pelajar ini, barulah satu persatu bakat mereka dapat ditonjolkan dan ada perkembangan memberangsangkan apabila banyak pihak mula berminat mengambil dan bersama-sama dengan pelajar ini untuk menjayakan projek yang sedang dilaksanakan.

Penolong Kanan Pendidikan Khasnya, Zaharuddin Mohd, 42 berkata, pelajar pendidikan khas ini memerlukan pendekatan yang berbeza berbanding pelajar normal. Mereka lebih memerlukan pembelajaran berbentuk praktikal dan dunia sebenar.

Menurutnya, matlamat sebagai guru pendidikan khas adalah mahu melihat mereka berjaya dalam sesuatu bidang praktikal yang dikenal pasti selain pelajaran. Justeru pihak sekolah mahu memaksimumkan potensi pelajar dengan mengesan kebolehan dimiliki seterusnya digilap agar berjaya.

“Caranya adalah dengan memberi pendedahan, peluang ceburi sesuatu kemahiran dan biasakan mereka bergaul serta berinteraksi dengan masyarakat. Kebanyakan daripada pelajar istimewa ini mudah berasa rendah diri kerana lemah dalam pelajaran.

"Malah terdapat ibu bapa pada awalnya kurang berkeyakinan untuk dedahkan anak mereka kepada masyarakat kerana kekurangan yang ada pada anak mereka,” katanya kepada Sinar Harian.


Ubah cara didikan

Zaharuddin berkata, perubahan sedikit demi sedikit secara berpasukan daripada guru Pendidikan Khas dan pihak sekolah dilakukan sejak dia mula bertugas ke sekolah berkenaan pada 2010 untuk mengubah perspektif dan keyakinan ibu bapa yang pada waktu itu kurang memfokuskan kebolehan anak mereka.

“Setelah saya berpindah ke sekolah ini pada Ogos 2010. Saya berusaha mengubah pandangan itu dan buktikan bahawa anak mereka boleh dibentuk dan mempunyai bakat terpendam untuk berjaya pada masa hadapan.

“Misalnya bermula tahun ini, saya mula melaksanakan kelas fotografi dan kulinari khas untuk pelajar pendidikan khas. Hasil kerja mereka boleh dilihat walaupun mereka baru belajar asas kemahiran berkenaan,” jelasnya.

Subjek teras seperti Sejarah, Sains, Matematik, Geografi, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu turut diambil tetapi sebagai guru pendidikan khas, cara penerangan lebih fokus kepada tahap penguasaan individu untuk memudahkan mereka faham.

“Pendekatan teknik sebegini mampu menunjukkan peningkatan prestasi pelajar lebih baik daripada sebelum ini. Walaupun agak lambat proses pembelajaran tetapi pelajar dapat faham apa kita ajar. Jika sehari mereka dapat satu ilmu, dalam seminggu mereka boleh dapat lima ilmu dan praktik perkara berkenaan dalam kehidupan mereka. Ia pencapaian membanggakan terutama bagi golongan seperti mereka,” ujarnya.


Gilap bakat

Kini seramai 52 pelajar pendidikan khas yang terdiri daripada mereka yang mempunyai Autisme, Sindrom Down, Disleksia dan masalah pembelajaran lain. Zaharuddin berkata, pembukaan kelas khas fotografi dan kulinari sedang dilaksanakan untuk memberikan kemahiran tambahan kepada pelajar istimewa berdikari selepas tamat belajar di sekolah itu nanti.

“Kelas foto ini dibuka khas untuk pelajar belajar menggunakan kamera DSLR. Walaupun baru masuk empat minggu kelas ini berjalan tetapi pelajar telah pandai asas teknikal menggunakan kamera. Perancangan kami, setiap pelajar yang ambil kelas ini akan menjalani latihan industri dengan mengambil gambar perkahwinan sekitar Putrajaya pada waktu cuti November dan Disember ini sebagai amali dunia sebenar kepada mereka,” katanya.

Selain itu katanya, pihak sekolah juga membuka kelas kulinari seperti perusahaan kulinari sebenar untuk dipelajari pelajar pendidikan khas yang berminat.

“Semua guru dan pembantu pengurusan murid yang terlibat telah dihantar menghadiri kursus khas di Kolej Komuniti Selayang pada November tahun lalu untuk mengajar pelajar khas ini secara serius. Tambah menggembirakan apabila, baru-baru ini terdapat sebuah yayasan menyatakan kesudian memberi penajaan sebagai persediaan untuk menyediakan kelengkapan kulinari bagi memudahkan sesi pembelajaran,” jelasnya.


Boleh cipta nama

Dengan kebolehan dimiliki, Zaharuddin berkata, tidak mustahil kemahiran fotografi dan kulinari mereka boleh dijadikan modal untuk menubuhkan syarikat sendiri seterusnya mengajar mereka berdikari apabila telah tamat persekolahan.

“Bagi meningkatkan keyakinan diri pelajar ini, kami turut menubuhkan Pasukan Kadet Pertahanan Awam Program Pendidikan Khas Integrasi untuk mereka. Turut membanggakan apabila aktiviti kokurikulum beruniform yang dijalankan pada jam 3 hingga 5 petang setiap Rabu dapat disertai semua pelajar.

“Kami pasti sedih dan terkilan jika melihat pelajar pendidikan khas yang telah habis belajar tidak mampu berbuat apa-apa untuk menonjolkan bakat dan kemahiran mereka. Justeru saya bersama seluruh pasukan kerja program ini bertekad mengubah situasi ini,” kata Zaharuddin.

Setakat ini, perkembangan pelajar yang mengikuti kemahiran ini sangat memberangsangkan. Ibu bapa juga sentiasa bersama dan memberikan sepenuh sokongan untuk melihat anak mereka berjaya.

Sinar Harian

1 ulasan:

Alisha Residenc berkata...

Hello I am Alisharesidennce,
Could you please link my blog http://alisharesidence.blogspot.com/ to yours?
Hope you are kind,

Alisha