19 Mac 2012

Awas perangkap maut

26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

GELIGA – Lubang sedalam kira-kira 0.5 meter di laluan masuk ke Hentian Bas Ekspres Chukai, dekat sini, menjadi perangkap maut kepada orang ramai, apabila banyak kemalangan dan kecelakaan berlaku gara-gara lubang berkenaan tidak dibaiki seterusnya menjadi semakin dalam saban hari.

Lebih teruk, keadaan hujan berterusan selama beberapa hari minggu lalu, mengakibatkan rata-rata pengguna perkhidmatan bas ekspres terbabit dan pengguna jalan raya yang lain, tidak menyedari kewujudan lubang maut tersebut kerana ia digenangi air.

Juru kaunter Tiket Bas SP Bumi, Azaman Salim, 46, berkata, laluan masuk ke hentian bas itu mula rosak dan lubang mula terbentuk sejak tiga bulan lalu, bagaimanapun akibat tidak dibaiki, ia menjadi semakin dalam dengan kedalamannya kini kira-kira 0.5 meter dengan lebarnya kira-kira sembilan meter.

“Bukan sahaja laluan masuk, malah laluan keluar hentian bas ekspres ini juga turut berlubang tetapi ia tidak seteruk seperti di laluan masuk. Disebabkan lubang ini digenangi air beberapa hari lalu terdapat dua pelajar kolej yang jatuh dari motosikal selepas motosikal mereka masuk ke dalam lubang ini dan mengalami kecederaan,” katanya ketika ditemui di hentian bas ekspres tersebut.

Malahan, katanya, banyak lagi kecelakaan lain menimpa orang ramai yang masuk ke kawasan hentian bas ekspres tersebut, selain mengalami kerosakan kenderaan seperti tayar rosak, rim bengkok, pecah bahagian bawah enjin serta kerosakan penyerap hentak sekali gus merugikan ramai pemandu dan pengguna.

“Saya sebagai penjual tiket di sini amat sedih, bila melihat ada antara penunggang motosikal yang jatuh tersembam ke atas jalan. Ketika waktu malam juga orang tidak akan nampak lubang ini dan ada seorang lelaki India yang masuk ke hentian menunggang motosikal jatuh lubang hingga dia terbaring dengan badan luka-luka,” katanya.

Menurut Azaman, lubang itu juga menyebabkan kesukaran untuk bas masuk ke terminal berkenaan selain terdapat bas yang bergoyang kerana mahu mengelak tayar memasuki lubang.

“Bagi mereka yang biasa datang ke sini kita tidak bimbang tapi bagi yang tidak biasa mereka akan akan menjadi mangsa,” katanya kesal.

Prihatin dengan masalah terbabit, Azaman turut membuat aduan beberapa kali mengenainya sejak tiga bulan lalu dan terbaru, aduan dilakukan minggu lalu kepada pihak berkenaan.

“Diharapkan lubang ini dapat dibaikpulih segera. Jangan biarkan ia berlubang sebegini demi nyawa dan keselamatan orang awam,” ujarnya.

Sinar Harian

1 ulasan:

lijitra berkata...

biasa la tu.lagi tak dak yg mampuih,lagi tu tak baiki.