19 Mac 2012

Najib hanya pandai cakap idea orang

26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Mac: Tidak masuk akal sama sekali Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh membawa Malaysia ke tahap negara maju jika isu pembantu rumah pun dia tidak tahu selesaikan.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, isu tersebut tetap tidak tahu diselesaikan oleh pentadbiran Najib walaupun telah berlarutan sekian lama.

"Kegagalan Najib menyelesaikan isu pembantu rumah merupakan satu lagi bukti jelas bahawa dia hanya pandai bercakap dengan idea dan fikiran orang lain sahaja.

"Itu sahaja kebolehan Najib termasuk mengulang sebut pelbagai singkatan atau akronim yang orang lain reka sedangkan dia sendiri tidak boleh diharapkan hatta untuk menyelesaikan isu pembantu rumah sekalipun," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, sebelum ini, telah berkali-kali didakwa kononnya isu itu sudah selesai.

"Setiap kali Perdana Menteri makan angin ke Indonesia, digembar-gemburkan kononnya isu itu akan diselesaikan oleh beliau. Mana penyelesaiannya?

"Sama seperti isu Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), Felda, MAS serta terlalu banyak isu lain, Najib berkali-kali membuktikan dengan jelas kepada rakyat bahawa beliau tidak tahu dan langsung tidak mempunyai kebolehan untuk menyelesaikan hampir semua masalah," kata Mahfuz.

Menurut Mahfuz, masalah pembantu rumah ini memerlukan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang.

"Dalam perbahasan di Parlimen selepas ini, saya akan nyatakan kegagalan kerajaan melaksanakan penyelesaian jangka panjang yang telah berkali-kali dicadangkan oleh pelbagai pihak dan betapa wang negara RM250 juta yang seolah-olah dikendurikan kepada keluarga Ketua Wanita Umno boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan penyelesaian yang berulang kali dicadangkan itu," kata beliau.

Mahfuz meminta rakyat menilai betapa tidak berkebolehannya pentadbiran Najib menyelesaikan masalah rakyat itu.

"Ia juga membuktikan bahawa masalah yang dihadapi oleh rakyat, tidak kiralah masalah pembantu rumah, kenaikan harga barang atau apa sahaja masalah rakyat, tidak diberi keutamaan oleh pentadbiran Najib.

"Yang tidak habis-habis beliau lakukan ialah bercakap berdegar-degar kononnya dia pandai sangat untuk mengatasi pelbagai masalah negara ini.

"Sedangkan, keriuhan beliau mengenai pelbagai perkara termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) misalnya terbukti menjadi bahan persendaan orang-orang Umno sendiri. Nyata sekali Najib tak mampu," kata beliau.

Krisis pembantu rumah semakin meruncing apabila Indonesia baru-baru ini menetapkan polisi "satu amah, satu tugas" dengan gaji minimum RM700.

Polisi itu bermakna, seandainya seorang amah diupah untuk mengasuh bayi, tugasnya hanyalah mengasuh bayi dan tidak akan melakukan kerja-kerja rumah yang lain dan gaji minimumnya adalah RM700.

Sehubungan itu, bakal majikan di Malaysia tidak lagi boleh mengharapkan kepada seorang amah sahaja untuk melakukan semua kerja di rumah mereka.

Keputusan itu dicapai hasil rundingan Pasukan Petugas Khas Bersama (JTF) antara kerajaan Indonesia dan Malaysia yang menetapkan penghantaran Tenaga Kerja Indonesia (TKI) akan mengikut kemahiran masing-masing dalam empat bidang tertentu iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah.

Harakah Daily

Tiada ulasan: