19 Mac 2012

FGVH: PAS beri 3 hari kepada Ahmad Maslan

26 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Mac: PAS memberi tempoh tiga hari kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan untuk mengemukakan jawapan terperinci berhubung prestasi semasa pelaburan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di dalam dan luar negara.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, beliau tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Ahmad minggu lalu yang disifatkan terlalu umum.

"Saya beri tempoh tiga hari kepada Ahmad Maslan untuk detailkan prestasi pelaburan FGVH di luar negara.

"Beliau cuma nyatakan pada 2009 hingga 2010, keuntungan FGVH berjumlah RM203 juta di dalam negara dan 366 juta di luar negara. Saya minta angka rasmi secara detail," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Naib Presiden PAS itu juga berkata, PAS menunggu jawapan daripada Ahmad dan sekiranya Ahmad gagal berbuat demikian, PAS akan mendedahkan maklumat yang sebenar.

"Kita meragui jawapan beliau kerana PAS mempunyai maklumat mengenai angka-angka yang sebenar," katanya.

Sebelum ini, pelaburan-pelaburan yang dijalankan anak-anak syarikat FGVH seperti Felda Iffco Sdn Bhd, Felda Global Technologies melalui Twin Rivers Technolgies US (TRT) mencatatkan kerugian terkumpul hampir RM500 juta setakat tahun 2010.

Harakah Daily

Tiada ulasan: