16 Mac 2012

Warga emas ugut tikam kerana jeling

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Seorang warga emas berang dan bertindak mengugut menikam seorang lelaki warga asing menggunakan sebilah pisau selepas tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu memandangnya tanpa sebab dalam satu kejadian di hadapan rumah pekerja tapak binaan rumah kedai, lorong belakang Jalan Mahkota di sini, 11 Mac lalu.

Ugutan warga emas menimbulkan ketakutan kepada pengadu (mangsa) lalu dia membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan terancam.

Akibatnya, warga emas terbabit, Sheikh Mustafa Shek Umar, 63, ditahan polis susulan laporan tersebut dan hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan sebilah pisau lipat yang disyaki digunakan untuk mengugut mangsa sebelum itu.

Peniaga kecil berasal dari perkampungan Cenderawasih di sini itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam bagi menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah terhadap mangsa menggunakan pisau bagi tujuan mendatangkan kecederaan.

Tertuduh tidak diwakili peguam mengaku bersalah atas tuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Wahida Zainal Abidin itu.

Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah dalam keputusannya mengarahkan tertuduh didenda RM3,500 atau lapan bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Sebelum itu, tertuduh merayu kepada mahkamah supaya hukuman diringankan memandangkan dia mempunyai lima tanggungan termasuk empat cucu yang masih kecil.

“Saya hanya berniaga secara kecil-kecilan dengan pendapatan tidak seberapa,” katanya.

Warga emas itu berkata, dia hanya cakap namun tidak melakukan sebarang kekerasan atau cuba menikam pengadu ketika itu.

Berdasarkan fakta kes yang dibacakan, tertuduh bersama seorang lelaki keluar dari stor sebelum terserempak dengan pengadu.

Pengadu memandang ke arah tertuduh sehingga menimbulkan kemarahan warga emas itu lalu keluar kata-kata ugutan berbunyi “Hendak aku tikam perut engkau dengan pisau ini?,”

Disebabkan tindakannya itu, tertuduh yang turut memiliki satu kesalahan lampau berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: