16 Mac 2012

Bekas mertua diugut simbah asid

23 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Padah kerana mengugut mahu menyimbah asid kepada bekas ibu mertua yang enggan menyerahkan anaknya, seorang wanita dipenjarakan selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini, semalam.

Majistret Abdul Hayyi Salim ketika membacakan keputusannya memerintahkan agar hukuman terhadap tertuduh, Nurul Diana Mohamad, 21, berjalan dari tarikhnya ditang­kap, setelah dia mengaku bersalah kerana melakukan ugutan jenayah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan ketakutan sehingga menyatakan mahu menyimbah asid terhadap Fatimah Draman, 49, di Kuarters Kakitangan Taman Sinar Harapan Bukit Besar, di sini pada 8 Februari lalu, kira-kira jam 3 petang.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa iaitu pengadu yang ketika itu berada di rumahnya, telah didatangi tertuduh yang juga bekas menantunya kira-kira jam 3 petang pada 8 Februari lalu.

Ketika itu, tertuduh memaki hamun dan mengambil semua baju anak pengadu yang disidai di ampaian di luar rumah disebabkan keengganan pengadu menyerahkan anaknya.

Dia bagaimanapun tidak menyerahkan cucunya kepada tertuduh kerana takut cucunya itu tidak dipedulikan tertuduh, selain diugut akan disimbah asid jika enggan menuruti kehendaknya.

Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, pengadu membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga untuk tindakan lanjut manakala tertuduh ditahan di pekarangan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada 12 Februari lalu, kira-kira jam 5 petang.

Sinar Harian

Tiada ulasan: