02 April 2012

Hanya kerana telefon bimbit sanggup serang bekas isteri

10 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Hanya kerana sebuah telefon bimbit, seorang penganggur sanggup bertindak bodoh apabila buat kecoh di pejabat jandanya dalam masa sama mencederakan mangsa dalam kejadian di Jalan Batas Baru, di sini, 18 Mac lalu.

Tindakan tertuduh, Mohd Raffi Midin, 40, dari Kampung Gemuroh, Tepoh, di sini bukan sahaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa tetapi turut memalukan mangsa menerima pembalasan setelah didenda RM2,200 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman terbabit selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Raffi mengaku bersalah telah menceroboh masuk bangunan Pekedaian Permint Harmony, Jalan Batas Baru, di sini iaitu milik W&K Perunding Ukur Bahan tanpa kebenaran kira-kira jam 11.30 pagi, 18 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia dikenakan denda RM1,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Selain itu, Mohd Raffi turut mengaku bersalah mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di tempat, waktu serta hari sama dan bagi kesalahan itu, dia dikenakan denda RM1,200 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda terbabit.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Ngiam Ooi Ming manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh datang ke pejabat mangsa lalu bertindak di luar dugaan merampas telefon bimbit milik mangsa.

Bagaimanapun, rakan sekerja mangsa cuba menghalang tindakan biadap tertuduh dan semasa itulah berlaku sedikit pergelutan di antara tertuduh dan mangsa.

Berikutan pergelutan itulah, mangsa cedera di tangan dan lutut kanan manakala tertuduh bertindak melarikan diri tanpa sempat mengambil telefon bimbit milik mangsa.

Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, mangsa terus membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan susulan dan berikutan itu, tertuduh ditahan di hadapan kedai makan di Jalan Banggol Leleh, di sini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: