02 April 2012

Pencuri tembaga dihukum penjara

10 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BALING - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua tahun 14 hari di atas kesalahan mencuri barang antik di sebuah kedai menjual barangan antik di Kampung Keda, Keledang oleh Mahkamah Majistret Baling di sini, semalam.

Rosni Ahmad, 31, dari Kampung Lela, Kuala Pegang didapati melupuskan barangan tembaga bernilai lebih kurang RM8,000 pada 22 Januari lalu.

Tindakannya mencuri barangan antik itu terbongkar setelah dia ditahan polis kerana mencuri motosikal di hadapan sebuah rumah di Kampung Landak Hilir Jalan Baru Kupang pada 20 Mac lalu.

Rosni menghadapi tiga pertuduhan iaitu mencuri motosikal, mencuri barangan antik malah turut dituduh gagal menunjukkan kad pengenalan diri semasa ditahan.

Hukuman bagi kesalahan pertama dijatuhkan di bawah seksyen 379 A Kanun Keseksaan iaitu penjara selama 12 bulan, hukuman bagi kesalahan kedua pula mengikut seksyen 414 Kanun Keseksaan iaitu penjara 12 bulan, manakala kesalahan tidak mengemukakan kad pengenalan pula dikenakan penjara selama 14 hari.

Ketiga-ketiga hukuman itu dijalankan secara berasingan dari tarikh tangkapan.

Rosni yang kelihatan tenang mengaku bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa Mahkahmah di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizzudin Ramli.

Sebelum ini, seorang penjual barangan antik, Abdul Rahman Mohamad, 65, di Kampung Keda, Kledang terkejut setelah mendapati kedainya berada dalam keadaan berselerak berikutan diceroboh pencuri.

Kejadian itu mengakibatkan Abdul Rahman terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM8,000 setelah barangan tembaga iaitu lapan set bekas pinang, 11 set talam, empat set bekas abu kemenyan, sebuah seterika termasuk tiga bilah keris hilang.

Sinar Harian

Tiada ulasan: