02 April 2012

Tahan 3 bot nelayan asing

10 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KEMAMAN – Taktik dua bot nelayan Vietnam menggunakan nombor pendaftaran klon bot nelayan Terengganu berjaya dihidu pihak berkuasa apabila dua bot terbabit berjaya ditahan bersama sebuah lagi bot nelayan dari negara sama dalam dua tangkapan berasingan menerusi Operasi Perkasa Timur pada 25 dan 30 Mac lalu.

Dengan penahanan tiga bot terbabit, seramai 31 nelayan warga Vietnam yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ditangkap.

Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Timur, Kapten (Maritim) Syd Mohd Fuzi Syd Hasan berkata, ketiga-tiga bot berkenaan yang sebuah daripadanya bersaiz lebih kecil dianggarkan bernilai RM700,000 turut dirampas.

Menurutnya, dalam tangkapan pertama, pasukan APMM yang sedang melakukan rondaan Operasi Perkasa Timur di sekitar perairan Pelantar Minyak Angsi pada jam 12.20 tengah hari, 25 Mac lalu berjaya mengesan dua bot nelayan mencurigakan yang sedang menarik pukat kira-kira 65 batu nautika dari perairan Kuala Kemaman.

“Hasil pemeriksaan kira-kira jam 1.30 petang pada bot bernombor TRF 819 mendapati bot tersebut mempunyai kru seramai 20 orang warga Vietnam. Sebuah lagi bot yang bernombor TRF 820 pula mempunyai kru seramai empat orang. Kedua-dua bot tidak mempunyai sebarang dokumen pendaftaran yang sah.

“Kesemua kru bot ditahan reman selama 15 hari di penjara reman Marang untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Pengkalan Maritim APMM Kemaman, dekat sini, petang kelmarin.

Bagi tangkapan kedua pula, sebuah bot mencurigakan yang sedang menarik pukat ditahan kira-kira jam 1.40 petang pada 30 Mac lalu kira-kira 64 batu nautika Timur Laut Tanjung Gelang.

Selepas pemeriksaan dilakukan didapati bot tersebut adalah bot nelayan asing dengan nombor pendaftaran BD 51007 TS.

“Terdapat seramai tujuh kru di dalam bot tersebut yang berumur antara 23 hingga 36 tahun. Turut dirampas dalam bot tersebut ialah 100 kilogram ikan pelbagai jenis.

“Bot kemudian kita tunda ke Pengkalan Maritim APMM Kemaman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: