02 April 2012

Kesal kasino siber masih aktif

10 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN – Aduan mengenai kasino siber akan disalurkan terus kepada Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob, demikian saranan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya masih lagi menerima aduan awam yang disalurkan secara terus melalui emel kepada MPPP.

“Terbaru saya menerima emel aduan daripada orang awam mengenai kasino siber yang gagal diambil tindakan walaupun setelah lima bulan individu berkenaan memberi maklumat kepada pihak bertanggungjawab.

“Saya juga berasa amat terkilan kerana setelah perjumpaan yang diadakan bersama dengan pihak polis, mesyuarat bersama semua pihak itu juga gagal menunjukkan sesuatu yang positif,” katanya.

Iszuree berkata, kini secara terang-terangan sebuah premis kasino siber di Jalan Rumbia berdekatan Bukit Jambul masih lagi beroperasi sejak sekian lama.

“Saya juga menerima aduan daripada Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari Teluk Kumbar yang mengatakan mereka menerima aduan ada di antara pelajar mereka sering mengunjungi kasino siber berkenaan.

“Sekiranya pusat-pusat ini masih gagal dibanteras sudah pasti ia membawa kesan yang amat buruk kepada masyarakat kita,” katanya.

Iszuree tidak menafikan pihak polis juga memberikan kerjasama yang baik dengan mengadakan operasi perjudian.

Namun, dalam masa sama mengharapkan supaya maklumat yang diberikan oleh MPPP diambil tindakan yang sewajarnya.

Beliau turut menegaskan tidak kesemua operasi yang berjaya perlu didedahkan melalui media namun, perlu nampak kesan positif.

“Kami begitu hargai kerjasama polis tetapi kami mahu senarai premis kasino siber yang kami beri diambil tindakan segera. Ini kerana kami dapati kesemuanya masih lagi beroperasi tanpa pemiliknya tiada rasa takut,” katanya.

Sebelum ini Iszuree melaporkan hanya lima kasino siber ditutup hasil dari operasi bersepadu yang dijalankan polis negeri ini.

Operasi itu dijalankan bermula November 2011 hingga Disember 2011, sebanyak 26 kasino siber atau pusat siber judi berkenaan terletak di bahagian zon utara negeri sementara 69 lagi di bahagian zon selatan negeri ini.

Atas nasihat Penasihat Undang-Undang, MPPP hanya diberi kuasa mengambil tindakan ke atas kasino siber melalui kesalahan undang-undang kecil tred iaitu kesalahan berniaga tanpa lesen dengan dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

Tiada ulasan: