02 April 2012

Aktivis bantah projek Vale

10 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MANJUNG – Kira-kira 300 aktivis dari Jaringan Aktivis Alam Sekitar Perak berhimpun di hadapan pintu masuk pejabat Vale di Teluk Rubiah, di sini, kelmarin bagi membantah operasi syarikat dari Brazil di kawasan peranginan itu.

Penyelaras Himpunan Teluk Rubiah, Ismady Radzuan berkata, himpunan berkenaan diadakan bagi membuka mata pihak berkuasa dan Kerajaan Negeri mengenai kemusnahan alam yang sedang berlaku di tempat peranginan berkenaan.

Menurutnya, pihak Jaringan Aktivis Alam Sekitar Perak tidak menolak pembangunan di sekitar Manjung khususnya di Lumut tetapi biarlah ia dilaksanakan tanpa mengganggu alam sekitar.

“Kami tidak setuju Teluk Rubiah dijadikan kawasan industri kerana kawasan ini mempunyai pantai yang cantik dan tempat pelancongan yang menarik.

“Operasi syarikat ini nanti akan memusnahkan keindahan alam sekitar di sini,” katanya yang sama-sama berhimpun di Teluk Rubiah itu.

Himpunan yang berlangsung di dalam hujan itu turut dihadiri bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga Adun Pasir Panjang; Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham; Adun Canning, Wong Kar Woh dan Adun Tronoh, V Sivakumar.

Ismady berkata, pada himpunan itu juga semua peserta yang terlibat diberikan taklimat tentang keadaan persekitaran terkini di Teluk Rubiah.

“Kami tidak kira siapa pun yang memerintah negeri ini, masalah berkaitan alam sekitar perlu ditangani dengan baik supaya tempat-tempat peranginan tidak terjejas,” katanya.

Jaringan Aktivis Alam Sekitar Perak merupakan gabungan enam badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada Persatuan Alam Sekitar Perak, Sahabat Alam Malaysia, Media Perak, Perak Consumer’s Association, Perak Green Pioneer dan Coalition of Concerned Citizens of Perak.

Daripada gabungan itu, mereka dipecahkan kepada tiga kumpulan iaitu Kumpulan Selamatkan Teluk Rubiah, Kumpulan Bukit Merah dan Kumpulan Lynas.

Sinar Harian

Tiada ulasan: