02 April 2012

8 tukang urut warga asing ditahan

10 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KLANG, 2 April: Seramai tujuh tukang urut warganegara China dan seorang Thailand di tahan dalam satu operasi rumah urut yang diadakan sekitar Bukit Tinggi, semalam. (MPK merampas tilam rumah urut di Bukit Tinggi, Klang)

Pengarah Jabatan Komunikasi Dan Pengaduan Awam (JKPA), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz berkata, premis berkenaan dipercayai menyediakan perkhidmatan seks kepada pelanggan dan ia menjadi tumpuan pengunjung di situ sejak kebelakangan ini.

Menurutnya,seramai 20 anggota diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa, Shahrul Hazri Abd Majid menjalankan operasi yang turut disertai Jabatan Pelesenan MPK.

“Tindakan sita diambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Kecantikan Dan Penjagaan MPK 2007 kerana beroperasi secara haram dan pelbagai barangan dirampas antaranya bantal, tilam dan kain langsir di situ.

“Malah kejayaan operasi ini adalah hasil risikan bersama kesemua jabatan terlibat dan maklumat awam yang banyak membantu majlis dalam melakukan operasi membanteras gejala tidak bermoral di kawasan ini,”katanya.

Norfiza berkata, selain daripada rumah urut, MPK juga memperhebatkan operasi terhadap premis warga asing, pusat siber dan gerai-gerai haram yang mengganggu ketenteraman setempat dan menjejaskan imej Bandar di Raja ini.

Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan premis haram terutama rumah urut kerana ia akan memberi kesan negatif khususnya kepada masyarakat setempat.

Harakah Daily

Tiada ulasan: