02 April 2012

Pekerja kilang berdepan penjara seumur hidup

10 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang pekerja kilang beras berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah memiliki dadah seberat 45 gram Mac lalu.

Mengikut pertuduhan Zulkifli Ismail, 37, didakwa memiliki dadah jenis Methampetamine seberat 45 gram itu di sebuah pejabat kilang beras di Kampung Kolam Tembesu, Gunung Bachok kira-kira jam 4.30 petang pada 25 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa huku­man penjara seumur hidup atau satu tempoh penjara ti­dak kurang lima tahun dan boleh dikenakan sebat tidak kurang sepuluh sebatan.

Hakim Azman Mustapha menetapkan 2 Mei depan untuk sebutan semula kes dan mendapatkan laporan kimia.

Pada prosiding semalam, tertuduh yang memakai baju lokap oren mengaku bersalah setelah beberapa kali juru bahasa menjelaskan pertuduhan dibacakannya.

Ahli keluarga tertuduh juga turut hadir ke mahkamah dan kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin.

Sinar Harian

Tiada ulasan: