23 Mei 2012

Piala AFC: Kijang, Penyu buat perhitungan

2 Rejab 1433H. [MOD] -

DUA musuh tradisi, Kelantan dan Terengganu masing-masing bakal membuat perhitungan tersendiri apabila berentap dalam pusingan kedua kalah mati kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia 2012 (Piala AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Dengan salah satu tempat bagi wakil negara secara automatik terjamin di suku akhir, pertemuan kedua ‘East Coast Derby’ sepanjang musim ini disifatkan cukup menarik apabila menemukan pengendali lama Kelantan, Peter Butler dengan Bojan Hodak selaku jurulatih baru The Red Warriors itu.

Di kem Kelantan, Hodak mengakui pasukannya berdepan tugas berat dalam meneruskan momentum cemerlang meski pun baharu sahaja merangkul kejuaraan pertama Piala FA menewaskan Sime Darby FC 1-0 Sabtu lalu.

“Seperti yang saya katakan­ sebelum ini, kami tidak meletakkan sasaran tinggi dalam kempen Piala AFC sehinggalah mara ke peringkat (pusingan kedua) ini. Apabila berada di peringkat ini, sudah pasti kami mahu menang untuk mengetuk pintu suku akhir.

“Saya yakin kita boleh menang malam ini. Saya tidak bersedia menamatkan perlawanan­ ini sehingga masa tambahan mahu pun penentuan sepakan­ penalti. Kalau boleh biarlah ia berakhir dalam tempoh 90 minit sahaja. Kita ada tugas lain menentang Johor FC dalam saingan Liga Super Sabtu ini.

“Tiada apa yang perlu dibimbangi mengenai pasukan­ Terengganu. Mereka pun seperti kita dan saya tetap menghormati Peter Butler. Beliau mungkin mengetahui kekuatan­ dan kelemahan Kelantan tetapi itu bukan perkara yang perlu saya fikirkan pada masa sekarang.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perlawanan Piala AFC di Kota Bharu semalam. Hadir sama rakan sejawatannya yang merupakan pengendali baharu Terengganu, Peter Butler selain penjaga gol kedua-dua pasukan, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Dalam pada itu, Butler yang baru dilantik sebagai jurulatih menggantikan Mohd Zan Mat Aris enggan me­ngu­las lanjut ketika ditanya pihak media menjelang pertemuan menentang bekas pasukan­ yang pernah dibimbingnya pada awal musim ini.

Sinar Harian

Tiada ulasan: