23 Mei 2012

Suspek culik masih dikesan

2 Rejab 1433H. [MOD] -

PENAGA - Polis masih mencari maklumat untuk melengkapkan siasatan bagi menjejaki suspek yang cuba melarikan pelajar tahun satu dalam satu kejadian culik di Kampung Pulau Mertajam di sini, petang Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Mohd Shukri Awang berkata, ketika kejadian pada jam 5 petang itu, tiada saksi yang benar-benar melihat wajah suspek.

“Kita mengalami sedikit kesukaran kerana tiada seorang saksi, termasuk kakak dan bapa saudara mangsa yang melihat wajah suspek kerana dia memakai topi keledar bertutup penuh.

“Malah, kita mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu hingga menyukarkan kita mengesan pemilik sebenarnya motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengunjungi mangsa dan keluarganya di Kampung Pulau Mertajam di sini, petang semalam.

Turut sama dalam lawatan itu ialah anggota dari Unit Kebajikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU dan Pengerusinya, Sub Inspektor Ayub Abdullah.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan kisah seorang kakak berjaya menyelamatkan adiknya dari diculik dengan bertindak mengejar motosikal yang ditunggang lelaki terbabit sejauh 50 meter.

Tindakan berani Nur Hazwani Marzukhi, 15, sambil menjerit supaya adiknya, Nur Haifa, 7, yang dilarikan lelaki terbabit dipulangkan berjaya menarik perhatian penduduk kampung yang turut serta mengejar hingga menakutkan penculik itu.

Panik ditangkap, lelaki berkenaan bertindak mencampakkan Murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Pulau Mertajam yang diletakkannya dalam raga motosikal.

Nur Haifa, anak ketujuh pasangan Marzukhi Omar, 55, dan Rozita Md Suhud, 46, dilarikan selepas termakan pujukan lelaki berkenaan untuk membawanya membeli ais krim.

Ketika kejadian, mangsa sedang bermain bersama empat sepupu lelakinya berusia antara 3 dan 8 tahun di tepi rumah bapa saudaranya yang terletak bersebelahan rumah mereka di kampung berkenaan.

Mohd Shukri berkata, pihaknya membuka tiga kertas siasatan dalam kes itu mengikut Kanun Keseksaan iaitu di bawah Seksyen 363/511, cubaan menculik, 354/511 kerana mendatangkan kecederaan ketika cuba mencabul dan Seksyen 323 kerana mendatangkan cedera parah.

Beliau turut meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya tampil membantu menjejaki suspek.

Sinar Harian

Tiada ulasan: