23 Mei 2012

Tiga dipenjara dua tahun kerana rasuah

2 Rejab 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Tiga pegawai Kastam dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Seksyen, di sini, semalam, atas tuduhan memperoleh suapan daripada seorang peniaga kedai runcit di Masai, di sini, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Yusof Drus, 25, Abdul Karim Abd Majid, 58 dan Md Mokhtar Ismail, 56 , turut berdepan penjara selama lima bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Mereka dituduh memperoleh satu suapan bernilai RM500 sebagai dorongan supaya tidak melakukan suatu perbuatan dengan hal ehwal prinsipal mereka dengan tidak mengambil tindakan ke atas Chan Jenn Kong yang dikatakan memiliki dan menjual rokok seludup di Taman Ria, Masai, di sini, kira-kira jam 2.41 petang, 30 Oktober 2010, lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) ASPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Sementara itu, Abd Karim turut dihukum penjara dua tahun dan denda RM10,000 selepas didapati bersalah atas pertuduhan kedua iaitu meminta rasuah sebanyak RM1,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Jenn Kong atas kesalahan yang sama.

Pertuduhan bagi kes berkenaan didakwa dilakukan di tempat dan tarikh yang sama pada jam lebih kurang 2.20 petang di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta tersebut dengan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau denda RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika disabit kesalahan.

Hakim Madihah Harullah kemudiannya memutuskan hukuman berjalan serentak bermula semalam.

Sinar Harian

Tiada ulasan: