23 Mei 2012

Kecam Fauzi masuk PAS 'pemikiran lapuk' Umno

2 Rejab 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor menyelar sikap pihak tertentu yang memandang negatif penyertaan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari ke dalam parti PAS.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzuan berkata pandangan Persatuan Bekas Polis Malaysia, kononnya tindakan Fauzi menyertai PAS itu mengkhianati kerajaan adalah pemikiran ‘lapuk dan kuno’ yang diterapkan Umno BN.

"Apakah tiada lagi nilai kebebasan bagi bekas-bekas penjawat awam untuk memilih halatuju pegangan politik mereka sedangkan mereka sudah bersara daripada jawatan lama mereka?

"Sudahlah semasa memegang jawatan diperlaku seperti hamba abdi yang perlu sentiasa mematuhi arahan tuannya, adakah sesudah bersara pun dimestikan mengikut telunjuk bekas majikan lagi," soal Hasbullah.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri semalam yang menyifatkan langkah yang di ambil oleh Datuk Fauzi sebagai mengguris hati bekas-bekas polis dan dianggap pengkhianatan kepada kerajaan.

Mengulas lanjut Hasbullah berkata, sebagai orang yang pernah menjawat jawatan yang paling kanan di dalam PDRM, Fauzi sudah semesti maklum tentang sejarah perjuangan PAS sebelum membuat keputusan untuk menyertainya.

"Apakah negara Malaysia ini masih mengamalkan amalan ‘politik rimba’ ataupun sebahagian rakyat Malaysia masih lagi dijajah dengan pemikiran-pemikiran manusia zaman jahiliyyah," soalnya lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta kepada pihak-pihak yang masih dijajah mindanya oleh Umno BN, melihat perkembangan semasa di mana semakin ramai bekas penjawat awam menyertai PAS dan Pakatan Rakyat.

"Kita harap Datuk Fauzi tidak perlu melayan dengungan ‘langau-langau’ Umno dan Barisan Nasional serta mendoakan semoga Datuk Fauzi akan terus istiqamah di dalam membantu PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan terhadap pemerintahan negara ini," katanya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: