23 Mei 2012

Malaysia jumpa China suku akhir Piala Thomas

2 Rejab 1433H. [MOD] -

WUHAN 23 Mei - Perkara yang paling ditakuti Malaysia akhirnya menjadi kenyataan apabila kita diundi menentang pilihan pertama dan juara empat kali berturut-turut, China pada suku akhir Piala Thomas, hari ini.

Sudahlah beraksi tanpa jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yang terpaksa pulang awal akibat kecederaan, pertemuan dengan tuan rumah itu ibarat 'masuk mulut naga' dan hanya keajaiban mampu membawa kita mengatasi gergasi badminton dunia itu untuk melangkah ke separuh akhir.

Terpaksa menentang China di suku akhir juga bermakna, sasaran separuh akhir yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya tinggal 30 peratus untuk dipenuhi, namun ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her menegaskan, pasukan negara tidak akan menyerah kalah sebelum memasuki gelanggang.

"Kita adalah underdog dalam perlawanan ini. Memang kita sudah menjangkakan undian seperti ini akan diterima apabila kita gagal menjuarai Kumpulan C, apa boleh buat kita kena menerimanya dan tidak boleh mengelak lagi.

"Di atas kertas dan gelanggang, China amat kuat dalam semua bahagian. Kita tidak boleh berahsia lagi mengenai barisan perseorangan kerana tanpa Chong Wei, hanya ada Liew Daren, Muhammad Hafiz (Hashim) dan Chong Wei Feng.

"Untuk acara beregu, saya rasa pendekatan kali ini lebih straight foward. Tiada guna kita tukar kombinasi, mungkin kita akan turunkan saja yang terbaik, namun itu belum diputuskan dan saya masih perlu berbincang dengan barisan jurulatih lain," ujar Kim Her.

Kim Her juga menegaskan, biarpun China merupakan pilihan untuk memenangi pertemuan ini, tetapi beliau mahu pemain Malaysia memberikan persembahan terbaik dan jangan mengaku kalah awal.

Ditanya apakah keajaiban 2002 mampu diulangi, apabila Malaysia mengejutkan China 3-1 pada separuh akhir di Guangzhou, jurulatih itu cuma berkata: "Susah hendak mengulanginya, seperti yang saya kata, kami akan cuba yang terbaik."

Pasukan negara tidak memiliki rekod baik setiap kali bertemu China dalam saingan Piala Thomas, malah pertemuan terakhir di Kuala Lumpur, dua tahun lalu menyaksikan kita tewas 0-3 di separuh akhir, di mana Chong Wei kalah mudah kepada Lin Dan ketika itu.

Indonesia, yang dianggap antara sebagai pencabar utama China pada kejohanan kali ini juga gagal memberi tentangan kepada gergasi dunia itu apabila dibelasah 5-0 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, semalam. - UTUSAN

Tiada ulasan: