23 Mei 2012

Dua letupan kuat kedengaran sebelum rumah pusaka terbakar

2 Rejab 1433H. [MOD] -

MUAR - Sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Parit No 7, Jalan Parit Yusof Darat, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu, semua penghuni tiada di rumah.

Mangsa, Ruzita Sa’er, 28, berkata, dia keluar rumah pada jam 10 pagi bersama anaknya, Mohd Hafiq, 4, dengan menaiki motosikal untuk menghantar bekalan minyak petrol ke tempat kerja suaminya, Mohd Hizarizam Masdar, 28, di Sungai Gresik, Sungai Balang.

Katanya, dia menerima berita itu kira-kira 30 minit selepas meninggalkan rumah, apabila seorang jiran menghubungi mengatakan rumahnya terbakar.

“Saya sangat terkejut kerana sebelum keluar rumah, semua suis dan peralatan elektrik telah diperiksa serta dalam keadaan selamat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah, dia tergamam apabila melihat keseluruhan kediamannya sudah terbakar.

Ruzita berkata, menurut jiran berhampiran, mereka terdengar bunyi dua letupan kuat sebelum rumahnya terbakar, sebaik sahaja dia keluar rumah.

“Jiran berdekatan cuba memadamkan api yang menjulang di bahagian dapur tetapi tidak berjaya kerana ia marak terlalu cepat.

“Saya sedih kerana rumah pusaka arwah ibu mentua yang menjadi tempat berteduh kami tiga beranak sejak mendirikan rumah tangga, kira-kira lima tahun lalu, musnah terbakar,” katanya.

Menurutnya, empat motosikal milik suami, barang kemas dan wang tunai turut musnah dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 10.20 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian dengan dua jentera bersama 12 anggota.

“Semasa tiba di tempat kejadian rumah papan itu sudah musnah terbakar dan mengambil masa selama 30 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran.

“Punca kebakaran dan nilai kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: