23 Mei 2012

Terlepas tali gantung

2 Rejab 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU - Seorang warga Thailand tersenyum lebar apabila terlepas hukuman mati selepas dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini, semalam atas tuduhan memiliki bom rekaan sendiri dan peluru hidup untuk tujuan diperdagangkan, dua tahun lalu.

Hakim Azman Abdullah membuat keputusan itu terhadap Mohamad Khairi Seman, 30, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan keraguan melampaui munasabah terhadap pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Mohamad Khairi diwakili peguam bela, Latifah Ariffin, sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Julia Ibrahim.

Pelajar sekolah pondok itu diputuskan tidak bersalah pada dua tuduhan bersama beberapa yang masih bebas, berdagang (menghasilkan untuk tujuan edaran) senjata api iaitu empat bom rekaan sendiri dan memiliki 258 peluru hidup di sebuah rumah Kampung Gebeng, Bakong, Pasir Mas pada jam 1.40 petang, 14 Disember 2009.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang boleh dijatuhi hukuman mati dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru.

Azman dalam keputusannya berkata, mahkamah tidak perlu mempercayai cerita tertuduh sama ada benar atau tidak, tetapi cukup setakat cerita tersebut dapat menimbulkan keraguan yang munasabah.

“Dari pembelaan tertuduh, saya berpuas hati rumah itu didiami lebih tiga orang selain tertuduh dan dua lagi yang dibebaskan serta penghuni wanita. Terlalu ramai Deoxyribonucleic Acid (DNA) dari berus gigi dan tidak ada pula
DNA tertuduh pada berus gigi itu.

“Keterangan tertuduh yang datang ke rumah itu semata-mata untuk berubat disokong saksi, Dr Seri Buana Zainuddin yang menyatakan tertuduh datang dalam keadaan diusung dan dipapah kerana sakit.

“Pengakuan tertuduh bahawa dia lari dari jaminan selepas ditahan kerana disyaki penentang Kerajaan Thailand memberi gambaran tertuduh seorang yang bercakap benar walaupun pengakuan itu memberi kesan negatif kepadanya,” katanya.

Sejurus keputusan dibacakan, Mohamad Khairi kelihatan tersenyum lebar berbanding wajah suramnya sebelum keputusan itu diumumkan.

Terdahulu, dua lagi rakannya, Mat Yunai Che Dolah, 35, dan Mohd Sidek Ali, 40, terlebih dulu dilepas dan dibebaskan mahkamah sama, 17 Februari lalu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: