02 Mei 2012

Piala FA: Kedah tidak ada rezeki

10 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Rezeki tidak memihak kepada Kedah selepas berjaya diikat oleh Kelantan 2-2 pada pada pertemuan separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman, semalam.

Dengan keputusan agregat 3-3 dan melalui peraturan gol di tempat lawan, Kijang layak ke perlawanan akhir untuk bertemu Sime Darby.

Kelantan terbukti berada pada kelas tersendiri untuk mara ke perlawanan akhir Piala FA apabila bangkit pada babak kedua untuk mengikat tuan rumah selepas ketinggalan 2-0 pada babak pertama.

Kelebihan Hijau Kuning yang berjaya mengikat Kijang di Kota Bharu 1-1 pada pertemuan separuh akhir pertama di Kota Bharu pada 21 April lalu dilihat tidak mencukupi, malah akibat kealpaan Kedah sendiri mereka dihukum oleh lawan di hadapan 30,000 penyokong sendiri.

Hadir selaku Naib Juara Piala FA tahun lalu, Kijang terlebih dahulu tersentap dengan dua jaringan penyerang sensasi Kedah, Khyril Muhymeen pada minit ke-30 dan minit ke-43 untuk meletakkan tuan rumah selesa di hadapan 2-0 pada babak pertama.

Gol pertama Kedah terhasil hasil gandingan cantik Khyril dan Kapten Pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar manakala gol kedua pula hadir hasil usaha pertahanan Hijau Kuning, Mohd Fazliata Taib yang mengelirukan dua pertahanan dan penjaga gawang The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat sebelum mudah disempurnakan Khyril.

Diasak bertubi-tubi

Walaupun diasak bertubi-tubi oleh Kelantan pada babak kedua, jelas kelihatan kubu Hijau Kuning yang diketuai oleh penjaga gawangnya, Mohd Helmi Eliza tetap kukuh bertahan.

Pada waktu yang sama perancang Kedah, Abdelfatah Safi berjaya memainkan peranan melakukan serangan balas dari kiri dan kanan ke kubu lawan bergandingan bersama Khyril dan Vedran Gerc.

Sedar percaturan pada babak kedua kurang berkesan, pengendali Kelantan, Bojan Hodak merombak beberapa strategi dan hasilnya mereka memperoleh jaringan hasil tandukan pertahanan import, Obinna Nwaneri pada minit ke-47 untuk merapatkan jurang 2-1.

Kedah kembali mengatur serangan, namun Kelantan berjaya mengatur kembali corak pertahanan dan mengekang asakan yang cuba dilancarkan oleh tuan rumah namun lawan mengambil kesempatan untuk mengikat Hijau Kuning 2-2 hasil jaringan penyerang import sensasi mereka, Mohammad Ghadar pada minit ke-59 untuk menceriakan kira-kira 5,000 penyokong setia mereka.

Ketua Jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan berkata, Kedah mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan itu selepas berada di hadapan dengan dua kelebihan gol pada satu ketika, namun disebabkan oleh kealpaan pemain sendiri mereka terpaksa berputih mata dan membenarkan Kelantan untuk ke perlawanan terakhir Piala FA 2012.

“Bagaimanapun terima kasih kepada semua penyokong Hijau Kuning yang hadir memenuhkan stadium keramat ini. Inilah adat permainan, yang terbaik akan layak ke peringkat seterusnya,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: