15 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Biarpun sudah dua tahun membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun daftar pemilih Liau Kok Fah masih direkod sebagai 'mati'.
Liau adalah salah seorang ahli Jawatan Kuasa Pemandu BERSIH 2.0 dan telah memaklumkan sendiri masalahnya itu ketika pertemuan Bersih 2.0 dengan SPR pada tahun 2010.
"Tetapi hingga ke hari ini Liau masih lagi ‘dirasmikan mati’. Nama beliau tidak dapat ditemui dalam daftar pemilih," kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan contoh itu, NGO itu mendakwa Suruhanjaya masih gagal membersihkan senarai daftar pemilih baru.
Selain itu mereka turut mendedahkan beberapa lagi penemuan berhubung pemilih yang bertukar alamat tempat mengundi.
Seorang pemilih bernama Phang Kuok Sing telah mendapati namanya didaftarkan sebagai pengundi di Tangkak Johor, walaupun alamat di kad pengenalan barunya ialah Kelantan.
Satu lagi kes melibatkan pemilih bernama Yoong Fue Ting.
Beliau pada Mei 2011 telah membuat permohonan pertukaran alamat mengundi dari Mambau ke Paya Jaras.
Tetapi namanya telah salah daftar ke Dun Taman Melati di kawasan Parlimen Wangsa Maju.
Sewaktu dirujuk kepada SPR, pegawai bertugas memaklumkan bahawa sebab kesilapan ialah kerana Yoong telah menulis alamat Wangsa Maju sebagai tempat kerja.
Alasan itu dipersoal suami Yoong kerana tidak logik alamat mengundi dibuat mengikut alamat tempat bekerja.
Namun selepas mengisi borang pembetulan tempat mengundi sebanyak dua kali pada tahun 2010, barulah ianya dibetulkan pada bulan Jun tahun lalu.
"Kesilapan yang berkali-kali ini tidak boleh dimaafkan kerana ianya akan menafikan hak pengundi untuk mengundi dikawasan mereka.
"Terbukti sahih bahawa lembaga SPR telah gagal untuk menunaikan tuntutan pertama Bersih 2.0 iaitu membersihkan daftar pemilih," kata kenyataan itu lagi.
Mereka juga turut mengulangi desakan agar kerajaan dipimpin Datuk Seri Najib Razak memecat dengan serta merta lembaga SPR yang ada hari ini dan menubuhkan lembaga SPR yang baru.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan