15 Rejab 1433H. [MOD] -
PUTRAJAYA: Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak) memberi kata dua kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sama ada menyelesaikan masalah kerakyatan anak-anak yatim di bawah seliaan mereka atau berdepan dengan demonstrasi.
Pengerusi Perbak Mohd Khairul Hafiz Abdullah berkata, masalah kerakyatan anak-anak yatim di bawah kelolaan JKM sudah berlarutan selama tujuh tahun dan sehingga kini masih belum diselesaikan.
"Saya bagi tempoh dalam masa dua minggu untuk JKM selesaikan, sekurang-kurangnya 10 daripada 20 anak yatim itu dapat kad pengenalan. Jika tidak mereka akan berdepan dengan demonstrasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di lobi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat selepas dipanggil JKM ekoran pendedahan seramai 1,758 bekas penghuni rumah anak yatim JKM tidak mempunyai kad pengenalan.
Beliau turut menyerahkan senarai 20 orang anak yatim yang pernah menghuni di institusi seliaan JKM yang tidak mempunyai kad pengenalan kepada Timbalan Ketua Pengarah Operasi JKM Puan Norani.
20 orang anak yatim berkenaan pernah mendapat perlindungan di Rumah kanak-kanak Tengku Budriah Cheras, Rumah Kanak-kanak Abdul Aziz Perak, Rumah Kanak-kanak Kepala Batas dan Rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah.
Dalam pertemuan itu juga, Khairul turut memberi amaran kepada JKM akan mendedahkan bukti penyelewengan serta kegiatan tidak bermoral kakitangan JKM termasuklah meliwat anak-anak yatim.
Bahkan katanya, sebanyak tiga kes liwat telah berlaku pada tahun 2009, 2010 dan 2011 di mana ketiga-tiga kes ini sudah dilaporkan kepada pihak polis Melaka Tengah, namun tidak ada sebarang tindakan dikenakan terhadap kakitangan JKM terbabit.
Apa yang berlaku katanya, kakitangan JKM terbabit tidak dikenakan tindakan undang-undang sebaliknya hanya dipindahkan tempat kerja sahaja.
"Saya ada bukti bagaimana kakitangan JKM meliwat anak-anak yatim dan bukti itu saya bawa bersama dalam pertemuan ini. Dan pegawai terbabit tidak membenarkan saya dedahkan kepada pihak media," katanya.
Jelas Khairul, jika JKM terus memperbodohkan mereka, beliau tidak teragak-agak akan membawa seorang perempuan yang akan menjadi pengadu pertama.
Di mana perempuan ini, katanya seorang ibu kepada empat orang anak yang terpaksa menjual anaknya kerana sesuap nasi.
"Jangan kata perempuan ini sahaja, saya boleh tampilkan anak-anak yatim yang kini hidup mereka tidak ada arah tujuan yang jadi tomboy pun ada apatah lagi yang jadi pelacur, " katanya.
Justeru, katanya, tindakannya itu sebagai membuka mata banyak pihak yang selama ini mengagung-agungkan JKM dalam menjaga kebajikan anak-anak yatim, walhal ianya tidak seindah yang digambarkan.
"Apa yang saya buat ini, supaya kita bangkit dari tidur bahawa kita sudah diperbodohkan kerajaan sejak 50 tahun yang lalu. Kononya selama ini JKM membuat kerja, tetapi apa telah terjadi pada anak-anak yatim bukan sahaja tidak terbela bahkan ramai yang tersasar," katanya.
Khairul merupakan Bekas penghuni Rumah Budak-budak Lelaki Tun Abdul Aziz Melaka. Beliau yang berketurunan Cina dibuang ibu bapanya ketika masih bayi berhampiran tong sampah di pekan kecil di Mentakab.
Beliau berdepan kesukaran mencari pekerjaan kerana memegang kad pengenalan merah, status pemastautin tetap (PR) walaupun pada hakikatnya dia dilahirkan di negara ini.
Bagaimanapun, ekoran pendedahan berani beliau ini akhirnya permohonan mendapatkan status warga negara, tiba-tiba dimaklumkan Jabatan Pendaftaran Negara sudah diluluskan pada 28 Disember tahun lalu.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan