15 Rejab 1433H. [MOD] -
KUALA MUDA – Seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) bertindak keluar dari kenderaan sebelum melarikan diri selepas terbabit dalam kemalangan berdekatan ladang kelapa sawit dekat sini jam 6.45 pagi, semalam.
Pemandu berkenaan membawa beratus-ratus tin minuman keras dan rokok dipercayai diseludup dari negara jiran.
Kenderaannya dikatakan terbabas akibat tayar belakang sebelah kanan pancit di Kilometer 90.7 Lebuhraya Utara Selatan arah Alor Setar ke Sungai Petani.
Seorang penduduk kampung yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku apabila pemandu kenderaan MPV itu gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas sehingga melanggar pembahagi jalan.
Menurutnya, akibat pelanggaran berkenaan minuman keras dan rokok bertaburan di atas jalan hingga menyebabkan kesesakan.
Sebuah lori juga yang berada di belakang MPV terbabit turut merempuh kenderaan itu berikutan cuaca yang masih gelap.
“Saya dikejutkan dengan satu lagi kemalangan berasingan antara sebuah kereta dengan ambulans.
“Sebuah kereta jenis Proton Saga yang sedang melalui arah sama untuk ke Pulau Pinang cuba untuk memperlahankan kenderaannya apabila melihat kemalangan tadi tetapi dilanggar oleh ambulans dari arah belakang akibat permukaan jalan yang licin.
“Ketika itu lebuh raya menjadi sesak termasuk keadaan jalan licin akibat tumpahan air minuman keras menyebabkan beberapa perlanggaran berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.
Difahamkan, ambulans itu sedang membawa pesakit dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dihantar ke Pulau Pinang.
Pesakit berkenaan bagaimanapun telah dibawa menggunakan ambulans lain yang dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sumber polis berkata, sebaik sampai di lokasi, pemandu MPV terbabit tiada di lokasi kejadian.
Menurutnya, semua mangsa terlibat mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan