15 Rejab 1433H. [MOD] -
BUTTERWORTH - Seorang lelaki yang disyaki memecah masuk Balai Bomba Sukarela Jalan New Ferry di Kampung Jawa di sini seminggu lalu sebelum melarikan peralatan memadam kebakaran berjumlah lebih RM10,000, berjaya diberkas kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, suspek ditahan kira-kira jam 11.45 pagi kelmarin di rumahnya di Jalan Perai Jaya, Perai dekat sini.
“Hasil siasatan dan intipan yang dilakukan sejak kejadian itu dilaporkan, sepasukan anggota polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Butterworth diketuai Inspektor Mohd Yusof Ibrahim berjaya menahan suspek.
“Semasa ditahan, suspek menunjukkan baki pelbagai peralatan kegunaan pihak bomba yang dicuri dan disembunyikan dalam sebuah guni di bahagian dapur rumahnya, manakala barangan lain seperti kepala hos pancutan air, perkakas pengopek yang kesemuanya diperbuat dari tembaga sudah dijual di premis barangan lusuh,” katanya.
Katanya, suspek yang merupakan penganggur dan mempunyai satu rekod kesalahan membabitkan kes pecah rumah itu kini direman selama tujuh hari untuk disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Zulkifli berkata, sebelum ini balai bomba sukarela berkenaan pernah dipecah masuk mengakibatkan pihak pengurusan mengalami kerugian lebih RM8,000 apabila pelbagai peralatan serupa dilarikan pencuri.
“Barangan yang dilarikan dan diperbuat dari tembaga padu itu merupakan keperluan utama dalam menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran dan ianya tidak mudah diperoleh secara terbuka.
“Sepatutnya orang ramai terutamanya pembeli barangan lusuh perlu lebih berhati-hati apabila ditawarkan barangan itu dan bertindak menghubungi polis terlebih dahulu kerana mereka boleh ditahan akibat menyimpan barangan curi,” katanya.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan