15 Rejab 1433H. [MOD] -
PUCHONG – Terseksa dengan ugutan ah long yang berterusan mengganggunya, seorang lelaki dipercayai nekad mengambil keputusan menggantung dirinya di sebuah bilik dalam rumah yang dihuni bersama isteri dan tiga anaknya di Sungai Buloh, akhir bulan lalu.
Difahamkan, mangsa gagal melunaskan hutang sebanyak RM16,000 yang dipinjamnya dan mengambil keputusan tanpa berfikir panjang selepas gagal mendapatkan bantuan saudaramara
bagi menjelaskan pinjaman kepada ceti haram terbabit.
Ketua Biro Aduan Rakyat Puchong, Kuan Chee Heng berkata, isteri mangsa mengadu masalah itu kepadanya apabila geng ah long terbabit dikatakan mengganggu hidupnya sekeluarga selepas empat hari suaminya meninggal dunia.
Isteri mangsa memberitahu, ketika masih hidup, suaminya agak tertekan dan sering memintanya wang untuk membayar pinjaman kepada geng ah long itu.
Menurutnya, paling menyedihkan beberapa jam sebelum menggantung diri mangsa sempat menikmati makan malam di luar bersama tiga anak lelaki berusia 10 hingga 15 tahun dan
memberitahu bahawa dia akan mati tidak lama lagi.
“Mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dalam sebuah bilik beberapa jam selepas makan bersama anaknya,” katanya.
Chee Heng berkata, isteri mangsa mendakwa tidak tahu berapa jumlah wang dipinjam suaminya sehinggalah geng ah long datang ke rumah memaklumkan jumlah yang dihutang.
Katanya, ketika masih hidup mangsa ada beberapa kali meminta wang kepada isterinya yang bekerja sebagai pemandu teksi sapu untuk menjelaskan wang itu dan mengatakan akan mati jika isterinya tidak memenuhi permintaannya.
“Berkemungkinan tidak mempunyai wang mencukupi membayar hutangnya lelaki terbabit mengambil keputusan singkat berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, Chee Heng menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pinjaman kepada peminjam wang tidak berlesen.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan