15 Rejab 1433H. [MOD] -
IPOH - Orang ramai yang sibuk dalam perjalanan pulang selepas waktu kerja gempar apabila melihat sebuah bangunan yang sedang diubahsuai terbakar dalam satu kejadian yang berlaku di Jalan Sultan Idris Shah, petang semalam.
Keterujaan orang ramai yang mahu menyaksikan insiden itu menyebabkan keadaan lalu lintas sesak.
Satu ketika dahulu bangunan tersebut adalah sebuah panggung wayang Lido yang terkenal yang kemudiannya dijadikan restoran.
Kini bangunan tersebut sedang dalam proses pengubahsuaian untuk dijadikan pusat snuker.
Ketua Operasi, Amat Sapekis Rosman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 5.56 petang semalam.
Katanya, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dengan kekuatan 13 anggota bergegas ke tempat kejadian bagi memadam kebakaran.
“Kami tiba di tempat kejadian pada jam 6.05 petang dan api dapat dikawal 25 minit kemudian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Menurutnya, berlaku sedikit kesukaran sewaktu memadam kebakaran kerana ia berlaku di bahagian atas berhampiran dengan siling.
“Kami terpaksa berhatihati sewaktu memadam api kerana kepingan siling sentiasa jatuh dan ia membahayakan anggota bertugas,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati cuma 25 peratus daripada bangunan musnah dalam kebakaran itu.
Amat Sapekis berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan