29 Jun 2012

Didenda RM800 biak nyamuk Aedes

9 Syaaban 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN - Gara-gara membiarkan jentik-jentik nyamuk Aedes membiak di dalam kolam mandi, seorang wanita didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret, Noor Aini Yusof mengenakan hukuman itu terhadap Rafidah Abdul Razak, 24, selepas membuat pengakuan salah terhadap pertuduhan yang dikemukakan Pegawai Pendakwa, Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Ahmad Yahya Zainoon.

Mengikut pertuduhan, Rafidah didakwa telah membiarkan jentik-jentik nyamuk Aedes membiak di dalam kolam mandi bilik air di rumahnya di Perumahan Polis Fasa 2, Lebuhraya Thein Teik pada 7 Julai tahun lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13 (2) Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan berbaju kurung memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya berikutan ini adalah kesalahan yang pertama yang dilakukannya.

Dia yang hadir ke mahkamah dengan ditemani ahli keluarga kelihatan termenung selepas hukuman denda dikenakan terhadapnya.

Difahamkan, Rafidah membayar denda berkenaan dan dibebaskan. Sementara itu dalam kamar yang sama, seorang lelaki didenda RM400 selepas didapati bersalah menghisap rokok di kawasan larangan.

Lim Song Khoon, 35, dari Taman Indrawasih, Perai didakwa melakukan kesalahan itu di pekarangan Hospital Lam Wah Ee disini pada 22 Disember tahun lalu kirakira jam 11.15pagi.

Dia yang didakwa Seksyen 11(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2011 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: