29 Jun 2012

Kes curi: Peniaga tayar rugi RM10,000

9 Syaaban 1433H. [MOD] -

SALOR - Seorang peniaga kedai tayar mengalami kerugian RM10,000 apabila kedainya dipecah masuk dalam kejadian jam 1.30 pagi semalam di Padang Tengah, Kilometer Tujuh, Lebuhraya Salor-Pasir Mas di sini.

Hassan Mahmood, 60, berkata, dia menyedari kejadian tersebut ketika datang membuat rondaan bersama isteri dan anaknya ke kedai itu.

“Saya terkejut apabila melihat sebuah kereta jenis Honda CRV berada di hadapan kedai dan kelibat manusia antara tiga ke empat orang sedang berlegar-legar. “Terkejut dengan kehadiran kami, mereka terus melarikan diri dengan kereta tersebut menghala ke Pasir Mas,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dia mendapati kesemua tayar yang ada habis dicuri termasuk minyak pelincir dan sebuah mesin pembuka tayar. Hassan berkata, ia merupakan kejadian pertama berlaku setelah hampir enam tahun beroperasi iaitu semenjak 2007.

Beliau kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Nilam Puri pada jam 2 pagi sebaik sahaja selesai membuat pemeriksaan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan pihaknya ada menerima laporan tersebut dan kes itu akan disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah rumah dan curi.

Sinar Harian

Tiada ulasan: