29 Jun 2012

Red Warriors terima habuan

9 Syaaban 1433H. [MOD] -

KEJAYAAN Kelantan menjulang Piala FA buat pertama kali akhirnya dibalas apabila kesemua 27 pemain dan 10 pegawai pasukan mereka menerima ganjaran bonus RM500,000 daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) semalam.

Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, ganjaran bonus setengah juta itu diagihkan dalam dua bentuk iaitu bayaran wang tunai RM300,000 dan bakinya menerusi pakej pelancongan ke Eropah sebaik sahaja Liga Malaysia musim ini berakhir.

“Oleh sebab kita masih belum menerima bayaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), maka saya menasihati pihak Kafa untuk melunaskan segera pembayaran bonus tersebut kepada semua pemain.

“Kita memahami pemain juga mempunyai komitmen lain. Macam Mohammad Ghaddar mahu melangsungkan perkahwinan dan Piya (Mohd Badhri Radzi) kini dalam proses membina rumah. Jadi kita mendapatkan duit pembayaran bonus ini daripada tabung persatuan sendiri dan dibayar terus ke akaun masing-masing.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bonus Piala FA, di sini, semalam. Penyampaian bonus tersebut disempurnakan oleh Bendahari Kafa, Nik Aminaldin Datuk Nik Jaafar kepada Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi.

Kelantan muncul juara Piala FA edisi ke-23 setelah menewaskan Sime Darby FC 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 19 Mei lalu. Menurut Annuar, setiap pemain utama yang beraksi dalam empen final Piala FA menerima ganjaran maksimum bernilai RM20,000 meliputi wang tunai dan pakej pelancongan tersebut.

“Atas semangat kekeluargaan The Red Warriors, sebahagian pemain yang mengalami kecederaan atau tidak terlibat dalam kempen piala tersebut juga turut menerima bonus sagu hati.

“Setelah difikirkan, apa salahnya pemberian bonus tersebut diberikan kepada semua pemain. Ini merupakan penghargaan pihak Kafa kepada semua pemain yang berusaha membawa pulang piala tersebut buat pertama kali ke negeri ini,” katanya.

Mengenai pakej pelancongan ke Eropah, Annuar menjelaskan pihaknya merancang mengadakan percutian ke Poland, Ukraine dan Belanda dan tidak menolak untuk membawa bersama penyokong mereka ke negara tersebut.

Sinar Harian

Tiada ulasan: