29 Jun 2012

Rasuah: Pegawai kanan polis didakwa

9 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Seorang anggota polis berpangkat Deputi Superintendan dikenakan ikat jamin sebanyak RM4,000 dan seorang penjamin selepas di hadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di sini, semalam atas pertuduhan menerima suapan bernilai RM2,000.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh, R Sundralingam, 52 dari Taman KSM, Temerloh di sini didakwa secara rasuah memperoleh satu suapan bernilai RM2,000 daripada seorang peniaga pada 23 Mac lalu di sebuah restoran di Jalan Temerloh-Mentakab kira-kira jam 5.25 petang.

Tertuduh yang juga seorang Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Temerloh itu didakwa menerima suapan tersebut supaya tidak mengambil tindakan terhadap lelaki tersebut bersama lima pekerja kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30 Enakmen Hiburan 1993 iaitu menjalankan perniagaan urut badan tanpa lesen.

Tertuduh boleh disabitkan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum 20 tahun atau lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Fathiyah Idris turut menetapkan perbicaraan kes tersebut bermula 1 Oktober depan selama lima hari. Bagaimanapun tertuduh membayar ikat jamin tersebut. Manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shafinas Shabuddin.

Sinar Harian

Tiada ulasan: