29 Jun 2012

Ugut ibu dengan pisau, pemuda dipenjara, denda

9 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Seorang pemuda, Muhammad Sufian Roslan, 20, dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM3,500 selepas dia mengamuk dan mengacukan pisau kepada ibunya.

Dia juga boleh dipenjarakan dua bulan lagi jika gagal menjelaskan denda yang dikenakan Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun sama.

Muhammad Sufian mengaku mengacukan pisau bagi meminta wang kepada ibunya, Zaleha M Hussin, 46, di kediaman mereka di Kampung Losong Dato Amar, di sini, kira-kira jam 2.30 petang, 25 Jun lalu.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda di hadapan Majistret Noradila Ab Latif, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah meminta wang daripada ibunya dalam keadaan marah sambil mengacukan pisau dengan niat menakutkan ibunya itu agar memberikan wang yang diminta.

Pada masa sama, dia turut mengugut mencederakan ibunya jika enggan memberikan wang kepadanya dan disebabkan ketakutan, ibunya terpaksa mengikut kemahuannya itu.

Bagaimanapun, bimbang keselamatannya dan anak-anak lain terancam, ibu malang itu mengambil keputusan membuat laporan memandangkan Muhammad Sufian setiap hari akan mengamuk untuk meminta duit.

Susulan laporan dibuat, Muhammad Sufian ditangkap di kediamannya juga kira-kira jam 2.50 petang, keesokan harinya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: