22 Jun 2012

Keganasan etnik ragut 80 nyawa

2 Syaaban 1433H. [MOD] -

Penduduk Myanmar masih risau keselamatan

YANGON: Lebih 80 terbunuh dalam keganasan kaum di barat Myanmar bulan ini, kata pegawai kerajaan semalam, ketika penduduk tempatan berkata mereka masih bimbang dengan keselamatan nyawa masing-masing.

Kira-kira 71 maut dalam pertempuran lebih seminggu itu, kata pegawai, sebagai tambahan kepada 10 penduduk Islam yang dibunuh 3 Jun lalu oleh samseng Buddha yang membalas dendam atas jenayah rogol dan bunuh seorang wanita tempatan. Kedua-dua pihak menuduh berhubung serangan itu.

Isnin lalu, dua lelaki dijatuhkan hukuman mati kerana jenayah rogol dan bunuh, walaupun tiada tahanan, menjalani hukuman berkenaan sejak tahun 1988.

Negeri Rakhine digegarkan dengan rusuhan, kes kebakaran dan serangan balas dendam membabitkan penduduk Buddha dan Islam Rohingya, yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa.

Pegawai Myanmar dan ramai rakyat Myanmar, termasuk kebanyakan etnik Buddha Rakhine, menganggap Rohingya sebagai pendatang dari Bangladesh dan merujuk mereka sebagai Benggali.

Mayat lapan lagi etnik Rakhine ditemui di kampung Yathedaung, 65 kilometer dari ibu negeri wilayah itu, Sittwe, kata pegawai.

“Mereka dibunuh ketika pertempuran dengan Benggali,” katanya kepada AFP menerusi telefon dari Sittwe.

Pemimpin Rohingya berkata angka kematian mungkin lebih tinggi berbanding perangkaan yang diberikan pihak berkuasa.

Kira-kira 800,000 penduduk Rohingya tinggal di Myanmar, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan kira-kira 800,000 penduduk Rohingya tinggal di Myanmar dan menyifatkan mereka sebagai minoriti paling tertindas di dunia.

“Mereka didiskriminasi termasuk had pergerakan dan kurang hak memiliki tanah, pendidikan dan perkhidmatan awam,” kata PBB.

Bangladesh yang dianggarkan menjadi tempat tinggal 300,000 Rohingya, mengarahkan bot yang membawa mereka berpatah balik sebaik tiba di pantainya sejak ketegangan tercetus.

Pegawai berkata kelmarin, keadaan berjaya dikawal di kebanyakan tempat di Rakhine, yang menyaksikan perintah darurat dilaksanakan selama lebih seminggu.

Namun penduduk di Sittwe berkata, keadaan masih tegang dan sekurang-kurangnya sebuah rumah dibakar tengah malam kelmarin. – AFP

Tiada ulasan: