22 Jun 2012

Nyaris maut ditikam rakan

2 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA ABANG – Seorang peniaga berdepan detik cemas apabila diserang seorang lelaki, dipercayai kenalannya dalam satu kejadian tidak diduga, dekat sini, lewat petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu dikatakan berlaku apabila mangsa yang sedang minum bersama sekumpulan rakan didatangi suspek sebelum berlaku pertengkaran, dipercayai akibat perselisihan faham.

Suspek dikatakan sempat mengambil sebilah pisau yang kebetulan ada di atas tanah lalu cuba menikam mangsa, namun mangsa sempat mengelak.

Bagaimanapun mangsa yang berusia 43 tahun dan berasal dari Kampung Baru Kuala Abang itu difahamkan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum dihantar ke klinik untuk rawatan lanjut.

Suspek yang dikatakan pernah mempunyai rekod jenayah lampau itu bagaimanapun melarikan diri ke rumahnya sebelum sekumpulan penduduk bertindak mengejar lalu mengepung rumahnya yang terletak di Kampung Baru, Kuala Abang itu.

Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah diketuai Inspektor Zubir Ismail yang tiba di lokasi sebaik menerima maklumat kemudiannya menahan suspek terbabit.

Suspek, 27, yang sebelum ini dikatakan pernah terbabit dengan kes mencederakan seorang peniaga restoran ikan bakar di pekan Kuala Dungun
beberapa tahun lalu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kes terbabit dan pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut bagi proses pendakwaan di mahkamah.

SINAR HARIAN/-

Tiada ulasan: