22 Jun 2012

Teras tolak keputusan PSC Lynas selamat

2 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menolak keputusan PSC bahawa Lynas selamat dan dengan itu kerajaan mengeluarkan lesen beroperasi kepada Lynas.

NGO Melayu itu menyifatkan tindakan itu adalah tindakan yang tidak wajar dan mengenepikan suara rakyat.

"Jelas slogan 'rakyat didahulukan' hanya retorik kosong. Dengan keputusan kerajaan mengeluarkan lesen operasi kepada Lynas, slogan yang sebenarnya diguna pakai ialah "keuntungan diutamakan, dan rakyat diperjudikan," kata Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden Teras.

Kata Azmi, kerajaan sepatutnya menimbangkan dengan teliti bantahan rakyat kerana betapa canggih sekalipun teknologi yang diguna untuk menjamin tahap keselamatan ia tetap tidak boleh mengenepikan kekhuatiran rakyat bahawa Lynas akan meletakkan nyawa penduduk persekitaran dalam keadaan merbahaya malah seluruh pekerja Lynas berhadapan dengan risiko.

Pertimbangan yang paling berat seharusnya diberi kepada persoalan kenapa syarikat Australia ini tidak mahu beroperasi di negara itu sendiri jika benar ia selamat, kata beliau.

Oleh itu, beliau berpendapat, kekhuatiran rakyat adalah berasas kerana dalam jangka masa panjang kilang tersebut terdedah kepada keadaan yang tidak menentu.
Dengan maklumat yang rakyat perolehi dari tragedi kebocoran gas Bhopal di India pada Disember 2-3 hb 1984 ( membunuh 3,000 dan mencederakan lebih 500,000 orang ) dan letupan kilang nuklear Chernobyl pada April 1987 di Ukraine sudah cukup untuk mencemaskan masyarakat khususnya yang berdekatan dengan kilang Lynas.

Laporan sebuah agensi PBB, UNSCEAR menetapkan akibat tragedi Chernobyl, 64 kematian, dan kematian selebihnya yang berkaitan dengan tragedi itu kepada 4,000 yang terdedah kepada radiasi (200,000 pekerja keselamatan, 116,000 penduduk yang dievakuasi dan 270,000 penduduk yang berada di kawasan sekitar yang dikontaminasi oleh radiasi).

Di anggar 3940 kematian adalah akibat kanser dan leukemia kerana terdedah kepada radiasi Chernobyl .

Berdasarkan sejarah ini apakah kerajaan akan bertanggungjawab jika tragedi luar jangka berlaku? soal beliau.

"Betapa jaminan keselamatan ditetapkan sekalipun, jelas kekhuatiran yang disuarakan oleh rakyat tidak boleh diketepikan begitu sahaja," katanya.

Rakyat bukan sahaja ada asas untuk membantah malah punya hak untuk menolak Lynas jika ia berpotensi boleh mencetuskan malapetaka jika kececuaian manusia berlaku, tegas Azmi lagi.

Harakah Daily

Tiada ulasan: