22 Jun 2012

Negara berkebajikan PAS bela semua kaum

2 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS memberi jaminan bukan sahaja hak bumiputera malah hak kaum lain juga akan lebih terbela jika diberi mandat menerajui negara ini lebih-lebih lagi dengan konsep negara berkebajikan yang digagaskan parti itu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Nasruddin Hassan berkata, negara berkebajikan PAS juga akan memastikan negara ini ditadbir lebih baik dengan meletakkan pembangunan seimbang antara fizikal dan rohani.

"Kita tidak mahu membina sebuah negara yang maju dari sudut material dan fizikal, tetapi dipenuhi kemungkaran dari sudut ekonomi, politik dan sosial sehingga mengundang kemurkaan Allah," katanya.

"Kita tidak mahu kekayaan bumi yang Allah beri ini hanya berlegar-legar untuk golongan elit dan pemerintah sahaja," sambungnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program debat Dalam Radar Khas bertajuk 'Malaysia Negara Berkebajikan, Dasar Baharu atau Amalan Sedia Ada' anjuran Bernama Radio 24 di wisma Bernama di sini petang semalam.

Selain beliau, dua lagi panel debat adalah Pengerusi Sekriteriat Ilmuan Malaysia (Ilmu) Dr. Fadlan Mohd Othman dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd Rahman.

Debat itu dikemudi Sayed Munawar Sayed Mustar dan Wan Syahrina.

Menurutnya, negara berkebajikan PAS berbeza dengan apa yang dilaksanakan Umno BN pada hari ini dan ianya merupakan alternatif kepada pendekatan kerajaan sekarang.

Antara prinsip asas negara berkebajikan PAS adalah memastikan kepimpinan negara di kalangan orang yang berintegriti dan berakhlak.

Ianya bagi memastikan tiada unsur penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa dalam pentadbiran.

PAS ujarnya telah terbukti mempunyai kepimpinan dengan ciri-ciri tersebut dan dapat dilihat pada model kerajaan negeri Kelantan yang 20 tahun memerintah dengan sifar rasuah.

"Ini menunjukkan nilai integriti kepimpinan yang kita tawarkan," katanya lagi.

Sayed Munawar turut bertanya, jika yang bermasalah itu adalah pemandu (pemimpin) sahaja, kenapa perlu untuk menukar kenderaannya (pemerintahan) sekali.

Nasrudin kemudian menjawab realiti di negara ini, pemandu bukan sahaja bermasalah malah cenderung mengubah struktur kenderaan sekali mengikut citarasa sendiri dan sebab itu ianya harus ditukar.

Beliau turut menjelaskan negara berkebajikan bukanlah dasar baru PAS menggantikan negara Islam tetapi hanya pendekatan yang terangkum dalam negara Islam itu sendiri.

Ianya juga katanya penjenamaan semula agar perjuangan Islam PAS itu lebih mudah diterima semua pihak.

"Memberi nama baru yang seerti dengannya (negara Islam) itu adalah satu kebijaksanaan yang perlu ada pada pemimpin sekarang ini," jelasnya.

Harakah Daily

Tiada ulasan: