22 Jun 2012

Lynas: JK Himpunan Hijau tolak laporan PSC

2 Syaaban 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Himpunan Hijau mengingatkan kerajaan agar mengambil kira bantahan penduduk Kuantan berhubung pembinaan projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), di Gebeng.

Pengerusinya, Wong Tack berkata, pihaknya bersedia meneruskan gelombang bantahan jika projek itu diteruskan.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah mempercayai kewujudan Jawatankuasa Khas Parlimen berhubung isu tersebut kerana yakin jawatankuasa itu hanya untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa projek itu selamat.

“Kami tahu kerajaan tidak pernah memberikan perhatian terhadap kerisauan kami yang tinggal di kawasan berhampiran.

"Kerajaan hanya mengutamakan kepentingan politik dan membetulkan kesilapan bukan agenda mereka,” kata beliau pada sidang media bersama ahli Parlimen Pakatan Rakyat di lobi Parlimen.

Beliau juga mengajak orang ramai menyertai Himpunan Hijau 'Occupy Balok-Gebeng 24 Jam' yang akan diadakan pada 23 dan 24 Jun ini.

Pelbagai program akan diadakan sepanjang tempoh 24 jam himpunan tersebut antaranya konsert ‘hijau’, gig band tengah malam, perkhemahan, pameran dan kempen kesedaran alam sekitar, dialog dan ceramah.

Himpunan tersebut turut mendapat sokongan PAS malah Timbalan Presiden, Mohamad Sabu sebelum ini meminta seluruh ahli PAS, khususnya di Pahang dan Terengganu untuk turun menyatakan solidariti pada himpunan tersebut.

Turut bersama pada sidangmedia tersebut ialah Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Harakah Daily

Tiada ulasan: