22 Jun 2012

200 ayam rentung

2 Syaaban 1433H. [MOD] -

ROMPIN - Sebanyak 200 ayam ditemui rentung hingga mengakibatkan seorang pembekal ayam di Felda Keratong 1, di sini, terpaksa menanggung kerugian lebih RM80,000 selepas gerai pemprosesan ayamnya hangus dijilat api, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, kesemua ayam yang hendak dihantar kepada peniaga di beberapa tempat di sekitar Keratong dan Muadzam Shah ditemui rentung apabila hampir keseluruhan bangunan itu terbakar.

Tiga mesin pemprosesan ayam dianggarkan bernilai lebih RM40,000 dan dua peti ais sejuk beku tempat simpanan ayam musnah dalam kejadian.

Mangsa, Awang Hashim, 55, berkata, sewaktu kejadian, dia sedang tidur di rumah sebelum dikejutkan anak lelakinya yang memberitahu gerai berusia tujuh tahun itu terbakar.

“Anak saya mendapat maklumat gerai ayam kami terbakar daripada seorang jiran yang datang ke rumah pada awal pagi sebelum kami bergegas ke tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian.

Awang yang kini menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mengurus selia perniagaan itu kepada anaknya berkata, sebaik sahaja sampai ke tempat kejadian, dia mendapati bangunan itu sudah terbakar.

Menurutnya, kebakaran itu dipercayai berlaku dalam tempoh sejam sebelum ia berjaya dikawal anggota Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah yang tiba selepas 15 minit dimaklumkan berhubung kejadian itu.

“Sehingga kini, bomba masih menyiasat punca sebenar kejadian itu dan masih mentaksirkan jumlah keseluruhan kerugian yang kami alami,” katanya.

Pengeluaran merosot

AWANG berkata, setiap kali dia menatap bangunan itu, hatinya diruntun kesedihan mengenangkan kejadian itu kerana bersusah payah sejak usia muda lagi bagi mengembangkan perniagaan yang dimilikinya.

“Luluh hati saya melihat bangunan gerai itu terbakar, apatah lagi gerai ini dibina dengan hasil titik peluh saya selama lebih 30 tahun menjual ayam dengan hanya menggunakan motosikal,” katanya.

Awang yang juga pembekal ayam utama di Rompin berkata, kejadian itu juga menyebabkan perniagaan anaknya terjejas selepas berdepan kesukaran menjalankan kerja pemprosesan ayam.

“Sekarang ini, kami terpaksa menumpang di tempat rakan untuk pemprosesan ayam kerana segala kelengkapan sudah rosak,” katanya.

Menurut Awang, dalam sehari, dia terpaksa membekalkan kira-kira 500 ayam di beberapa kedai runcit dan pasar malam di sekitar Bandar Tun Razak, Perantau Damai, Muadzam Shah dan Rompin.

Malah, katanya, pada musim perayaan pula, dia terpaksa menjual sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 ayam sehari memandangkan permintaan tinggi pada musim itu.

“Kami juga sudah bersedia membekalkan ayam pada musim perayaan tidak lama lagi, namun segalanya seakan lumpuh apabila kelengkapan kami musnah,” katanya.

Katanya, dua daripada anaknya hanya bergantung kepada sumber rezeki itu bagi menyara kehidupan keluarga dan musibah yang melanda itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka.

Harap kerajaan sudi membantu

MENURUT Awang, dia berharap agar anak-anaknya tidak putus asa dan terus cekal dengan dugaan yang melanda mereka kerana beranggapan segala kejadian itu mungkin ada hikmah di sebaliknya.

“Saya reda dengan ketentuan ini namun sebagai manusia biasa, kita kena berusaha meneruskan kehidupan kerana apa yang berlaku itu mungkin akan menjadikan kita bertambah kuat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, dia merayu kepada mana-mana pihak khususnya kerajaan supaya dapat meringankan penderitaan yang dialami termasuk memberi bantuan kelengkapan alatan pemprosesan ayam.

Katanya, dengan adanya bantuan itu, ia secara tidak langsung dapat membantunya memulihkan semula perniagaannya itu kerana terpaksa menyediakan kira-kira RM150,000 untuk kos keseluruhan kerugian yang dialami.

“Dalam keadaan harga barang binaan semakin tinggi, kami memerlukan modal yang besar untuk memulakan operasi perniagaan ini semula,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: