11 Jun 2012

Pemuda Pakatan Melaka sedia hadapi PRU

21 Rejab 1433H. [MOD] -

MELAKA: Perpaduan dan kerjasama satu pasukan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Melaka semakin erat dari masa ke semasa.

Semalam satu lagi program besar menggabungkan ketiga-tiga parti komponen PR di Melaka diadakan di mana Himpunan Pemuda PR Melaka telah berlangsung dengan penuh gilang gemilang.

Ketiga-tiga pimpinan Pemuda PR di peringkat pusat turun padang ke Melaka membuktikan keutuhan dan kesepaduan kerja antara mereka.

Ketua DAPSY Pusat, Anthony Loke, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin hadir memberikan sokongan dan suntikan semangat kepada petugas-petugas pemuda PR Melaka.

Program yang dijalankan di Dewan Pejabat DAP Melaka, Lorong Pandan di sini semalam, dihadiri lebih dari 300 petugas pemuda dan pimpinan PR setempat.

Dalam ucapan masing-masing, ketiga-tiga pimpinan tertinggi pemuda ketiga-ketiga parti melahirkan keyakinan bahawa PR akan menumbangkan BN pada PRU 13 nanti seterusnya membentuk sebuah kerajaan baru di Putrajaya.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pemuda PAS akan turun habis-habisan pada pilihanraya umum ke 13 nanti bagi memastikan PR menang bagi menggantikan kerajaan BN yang jelas gagal mentadbir Malaysia.
"Pemuda PAS sentiasa bersedia untuk menggalas tugas yang diamanahkan oleh pimpinan PAS dan PR," ujar beliau.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Shamsul Iskandar menyelar tindakan Umno/BN Melaka yang bertindak liar mengganggu ceramah dan program PR di Melaka akhir-akhir ini.

"Gangguan yang di lakukan UMNO Melaka dalam setiap program yang dilaksanaka Pakatan Rakyat Melaka menjadi bukti bahawa UMNO sudah tertekan dan tidak berupaya untuk berlawan hujah dengan PR".

"Bila mereka tertekan dan tidak berupaya menjawab segala fakta dan hujah kita, mereka menggunakan samseng dan gangster mengganas dan mengganggu program kita," tambah Shamsul.

Sementara itu Ketua DAPSY Pusat, Anthony Loke dengan tegas mengulangi ikrar untuk memastikan PR menubuhkan kerajaan baru di peringkat pusat dan negeri.

"Rakyat jelas sudah menolak BN, kita akan pastikan PR menang majoriti kerusi Parlimen dan Dun, kita akan bentuk kerajaan baru yang jauh lebih baik dari BN," tegas Anthony Loke yang juga merupakan Ahli Parlimen Rasah.

Hadir sama pada program tersebut ialah Ketua DAPSY Melaka, Tey Kok Kiew, Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Yuhaizad Abdullah dan Ketua AMK Melaka, Law Bing Haw.

Harakah Daily

Tiada ulasan: