11 Jun 2012

PPM rampas tudung seludup

21 Rejab 1433H. [MOD] -

TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor merampas 1,350 helai tudung bernilai RM33,750 yang diseludup masuk ke negara ini melalui pangkalan haram Derdap Nibong di sini Jumaat lalu.

Dalam serbuan kira – kira jam 7 petang, beberapa lelaki dipercayai penyeludup sedang memunggah bungkusan dari bot enjin galah ke tebing sungai lari bertempiaran selepas menyedari anggota PPM menyerbu.

Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Asisten Superitendan Wan Ismail Wan Mamat berkata, hasil pemeriksaan ke atas bungkusan yang ditinggalkan, anggotanya menemui 1,350 helai tudung pelbagai warna.

“Menyedari kehadiran anggota PPM, penyeludup melarikan diri dengan bot enjin galah ke seberang Thailand.

“Selepas bot anggota PPM rapat ke tebing, menemui lima bundle besar plastik bewarna merah mengandungi kain tudung,” katanya di Markas PPM Pengkalan Kubor, di sini semalam.

Wan Ismail berkata, ini merupakan rampasan kain tudung terbesar setakat ini dan dipercayai untuk pasaran Aidilfitri nanti.

Katanya, pada bulan Mei lalu rampasan terbesar melibatkan beras sebanyak 1,750 kilogram dengan nilai rampasan sebanyak RM3,150.

Sinar Harian

Tiada ulasan: