11 Jun 2012

Ganas: Konstabel didakwa, pegawai atasan terlepas

21 Rejab 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mengkaji semula Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ekoran tindakan keras anggota itu terhadap peserta Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Tegasnya, panel penyiasatan yang dibentuk dilihat tidak ada keupayaan menjalankan siasatan yang bebas.

Dalam soalan tambahannya, beliau berkata dalam himpunan tempoh hari jumlah mereka yang cedera parah terlalu besar berbeza dalam himpunan sebelum ini.

Malah beliau menyifatkan pertuduhan terhadap dua anggota polis berpangkat konstabel yang didakwa melakukan kekerasan kepada jurugambar dalam insiden itu, tidak mencukupi.

Ini kerana katanya, pegawai atasan yang bertanggungjawab akan terlepas begitu sahaja.

"Dakwa dua pegawai di peringkat bawahan untuk melepaskan orang yang lebih tinggi yang bertanggungjawab. Itu bukan alasannya," katanya.

Pertuduhan itu, katanya tidak akan berjaya menangani isu tindakan kekerasan polis pada masa akan datang.

Ketika menjawab, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula IPCMC.

Nazri sebelum ini berkata, hanya dua konstabel polis diambil tindakan sebagai sebahagian daripada penyiasatan terhadap dakwaan kekejaman polis semasa perhimpunan pada 28 April itu.

Harakah Daily

Tiada ulasan: