18 September 2012

Pasti kini jadi pilihan masyarakat

2 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

PENGKALAN CHEPA: Permintaan masyarakat bukan Islam terhadap pendidikan pra sekolah Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (Pasti), begitu membanggakan kerana penekanan pendidikan akhlaknya.

Ketua Pengarah Jabatan Pasti Malaysia, Hassan Abdullah, berkata, pelbagai kaum di negara ini sama ada India, China malah yang beragama kristian juga turut berminat menghantar anak-anak mereka di Pasti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutup Alam Ria Pasti Malaysia 2012, di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), di sini semalam.

Menurutnya, lebih membanggakan beberapa orang masyarakat bukan Islam khususnya di Perak memohon Pasti khas dibuka untuk mereka.

“Mereka memerlukan pendidikan akhlak, mereka yakin pendidikan akhlak yang kita didik telah mempengaruhi kanak-kanak khususnya bila memasuki tahun satu.

“Inilah kejayaan kita, kerana itu mereka meminta kelas Pasti khas untuk mereka, tanpa mengajar hafazan sebaliknya menekan akhlak dan adab-adab sopan yang lain,”ujarnya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau memberitahu pelbagai pembaharuan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi menjayakan hasrat pendidikan Pasti menjadi pilihan nombor satu masyarakat Malaysia.

Katanya, antara lain penubuhan Nurul Quran tahun hadapan sebagai kaedah terbaru belajar al-Quran selain qiraati atau iqra’.

“Buku ini telah dicetak untuk digunakan tahun hadapan,”ujarnya.

Kelantan tahun ini diberi peluang menjadi tuan rumah Alam Ria Pasti peringkat Malaysia.

Sementara itu, Pasti Negeri Selangor muncul johan keseluruhan sempena alam ria itu.

Selangor dipilih sebagai juara memandangkan beberapa acara pertandingan lain telah menduduki tempat kedua dan ketiga selain johan dalam pertandingan deklamasi puisi pelajar perempuan.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: