30 Muharram 1433H. [MOD] -
SHAH ALAM – Pemuda Pas Pusat menegaskan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor,
Datuk Dr Hasan Mohamed Ali tidak berhak untuk meminta Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat melepaskan jawatan Mursyidul Am parti itu.
Sehubungan itu, Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, kedudukan atau
jawatan dalam parti adalah hak mereka yang masih menjadi ahli Pas dan
bukannya orang luar seperti Hasan.
Hasan telah dipecat dari Pas awal Januari lalu.
“Siapa yang hendak jadi pemimpin, itu hak parti yang tentukan.
“Dia tak berhak membuat kenyataan tersebut sebab kepimpinan dalam parti
adalah urusan parti,” kata beliau kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan, memetik Hasan yang juga Presiden Jalur Tiga (Jati) menerusi tulisannya di laman sosial milik beliau, mendesak Nik Aziz melepaskan jawatannya susulan kenyataan mempertahankan kerjasama Pas dan DAP.
Menurut Hasan, Nik Aziz wajar menyerahkan jawatannya kepada timbalannya, Datuk Dr Haron Din yang lebih berupaya dan berwibawa.
Mengulas lanjut, Nasrudin sebagai generasi muda dalam parti Islam itu
berkata, Pas masih memerlukan seorang pemimpin yang “berkhidmat dengan
baik dan mampu memimpin parti” seperti Nik Aziz.
“Tok Guru Nik Aziz masih relevan untuk memegang amanah sebagai Mursyidul Am Pas,” tegas beliau.
Nasrudin turut mempertegaskan bahawa kenyataan Nik Aziz membela DAP
yang didakwa Hasan “menghiris hati ahli dan penyokong Pas yang sudah
tidak menahan perasaan sabar” difahami oleh anggota parti itu.
“(Kenyataan Tok Guru) bukan satu masalah buat kami. Bukan satu kewajaran Datuk Hasan memperbesarkannya.
“Harus difahami kenyataan Tok Guru dengan betul yang mana ia
mempertegaskan dasar parti tahaluf siyasi, kerjasama politik di antara
Pas, DAP dan PKR,” katanya.
“Kerjasama politik ini telah terjalin sejak sekian lama. Tidak ada yang mengelirukan atau tidak betul,” tambah beliau.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Khalid Samad
menjelaskan kewajaran Pas membela DAP, yang menurut beliau, berlandaskan
hukum agama.
“DAP atau mana-mana pihak yang dituduh dan difitnah tanpa bukti perlu diberikan pembelaan kerana Islam itu adil.
“(Hasan) jangan ikut atas dasar perasaan dan emosi. Buktikan apa yang
Tok Guru Nik Aziz katakan adalah silap. Buktikan kenapa DAP tidak layak
dibela,” kata Ahli Parlimen dan Yang Dipertua Pas kawasan Shah Alam.
Hasan dalam tulisannya menyatakan kebimbangan beliau sekiranya terus
dibela parasit dalam Pas manakala DAP akan bermaharajalela dan terus
menghina Islam.
“Saya bimbang kenyataan-kenyataan 'supreme' ini akan menjadikan
pimpinan DAP dan sebahagian daripada pimpinan Pas daripada golongan
parasit terus mendapat pembelaan dan menjadikan mereka lebih ganas
menghentam Islam dan perjuangan Pas disebabkan “peluru” yang disediakan
oleh TGNA (Nik Aziz),” kata Hasan.
Menjawab kepada kenyataan itu, Khalid berkata, jelas sekali Hasan kini mengamalkan politik “marah anak, sindir menantu”.
Sasaran Hasan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, kata Khalid, bukan DAP sebaliknya Pas.
“Dia serang DAP, DAP tidak akan kalah. Yang mereka harap akan terjejas ialah Pas," katanya.
sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan