14 Disember 2012

Pemuda Pas: SPR perlu bebas pegawai aktif politik

30 Muharram 1433H. [MOD] -

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan
 
SHAH ALAM - Pemuda Pas mengharapkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bertegas untuk tidak membiarkan mana-mana pegawainya menjadi ahli parti-parti politik.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, jika ada pegawai SPR menganggotai mana-mana parti politik, ia akan mendedahkan ketidaktelusan pengendalian dan menjejaskan kualiti pengurusan tertinggi SPR.

Ia juga, katanya, mendorong SPR tunduk kepada pengaruh politik kepartian yang boleh menghakis kredibiliti sistem demokrasi negara.

“Pengerusi SPR mesti peka dengan pendedahan seperti ini dan berasa bimbang akan kesannya terhadap kredibiliti SPR, apatah lagi mengambil kira pengajaran dari banyak kajian kes sedia ada, sejarah dan iklim politik semasa, khususnya di Sabah yang sensitif kepada perubahan kerajaan.

“Keterlibatan ahli parti dalam hierarki pentadbiran SPR seperti kes ini kelak membuka ruang pertikaian terhadap pilihan raya yang boleh mengheret badan itu ke dalam proses mahkamah yang merugikan dan retorik yang berpotensi mengganggu kesentosaan awam. Hakikatnya, perkara seperti ini boleh mencabar kesahihan kerajaan yang ditegakkan melalui proses pilihan raya tersebut,” katanya.

Beliau mendakwa alasan Abdul Aziz sebelum ini yang mengatakan pegawainya mempunyai hak demokrasi sebenarnya telah gagal menunjukkan pertimbangan wajar untuk memelihara hak demokrasi komuniti yang berasa terancam dengan penglibatan langsung ahli parti dalam tata kelola pilihan raya.

“Artikel 114 (2) Perlembagaan Malaysia secara jelas menggariskan bahawa Pengerusi SPR tidak boleh menyertai mana-mana organisasi bagi menjamin integriti bebas suruhanjaya tersebut.

“Jadi amat mendukacitakan apabila Pengerusi SPR enggan menunjukkan kepimpinan moral dan kebertanggungjawaban seperti yang dituntut Perlembagaan ke atasnya dengan menetapkan piawaian yang sama ke atas pegawai-pegawai SPR di bawah seliaan beliau bagi memelihara keutuhan integriti badan yang beliau pimpin,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: