14 Disember 2012

PAS tetap perjuang bayaran royalti Terengganu

30 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS akan tetap memperjuangkan hak royalti Terengganu biarpun Kerajaan Negeri yang diterajui BN ketika ini telah membatalkan saman terhadap Petronas.

Presiden PAS itu berkata, perjuangan menuntut bayaran balik royalti Terengganu yang dihentikan pada 2000, iaitu sebaik sahaja PAS mengambilalih negeri itu selepas pilihanraya umum 1999, bukan atas sentimen politik, tetapi perjuangan mengembalikan hak rakyat negeri itu.

"Kami (PAS) berjuang untuk dapat balik royalti Petroleum. Walaupun, kerajaan negeri telah menarik-balik saman yang dikemukakan. Ini adalah hak negeri yang wajib diminta.

“Kerana sentimen politik, (Umno) sanggup meminta supaya royalti ini dibatalkan. Dengan sebab sentimen politik mengatasi kepentingan negeri dan rakyat negeri ini," katanya yang juga Adun Rhu Rendang.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian membahaskan Belanjawan Negeri Terengganu (Bajet) 2013 pada Mesyuarat Yang Ketiga Penggal Persidangan Yang Kelima Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-12, di Wisma Darul Iman, dekat sini, Rabu lalu.

Mengulas bajet negeri, beliau turut menegur sikap membuat peruntukan bajet yang besar namun menggunakan kaedah berhutang.

Beliau juga berkata, jika Terengganu diberi semula bayaran royalti, sudah tentu ianya menjadi sumber pendapatan utama negeri, sekaligus mampu meringankan beban rakyat negeri ini dan mengurangkan hutang dalam bajet.

"Dalam bajet ini jangan sangat kita (kerajaan) bergantung kepada hutang, sepatutnya kita bergantung kepada sumber hasil kita sendiri.

"Marilah kita sama-sama minta balik royalti ini. Satu sumber yang sangat besar di samping itu kita manfaatkan sumber-sumber yang telah sedia ada tanpa membebankan rakyat dengan kenaikan cukai,” tegasnya.

harakah/-

Tiada ulasan: